SHAH ALAM – Sekalipun bukan lagi parti memerintah, UMNO melalui Wanita UMNO Selangor tetap prihatin apabila tampil menyalurkan bantuan kepada kakitangan Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad yang berdepan dengan masalah kewangan.
Sumbangan wang tunai itu diserahkan Ketuanya, Datuk Rosni Sohar kepada Ketua Biro Utusan Selangor, Mohd. Asron Mustapha di bangunan UMNO Selangor hari ini.
Rosni berkata, Wanita UMNO negeri amat prihatin dengan nasib Utusan serta kakitangannya dan selaku akhbar Melayu berpengaruh yang banyak membantu masyarakat, sudah tentu Utusan perlu dibantu.
“Sumbangan wang tunai ini walaupun tidak menyelesaikan kemelut kewangan Utusan, tetapi sekurang-kurangnya dapat memberi sedikit kelegaan kepada kakitangan dan Wanita UMNO Selangor terpanggil untuk tampil membantu.
“Ini kerana Utusan ini sejarahnya panjang dan peranannya juga amat penting khususnya buat orang Melayu dan masyarakat Malaysia keseluruhannya, jadi di mana ada ruang, kita berusaha untuk bantu,” katanya.- UTUSAN ONLINE