Saturday, June 10, 2023

Creating liberating content

[Video] Polis lepaskan tembakan...

Kejadian di persimpangan Jalan Semarak menghala Jalan Tun Razak arah selatan. Sebuah kenderaan...

[Video] Kapten hoki India...

Kapten hoki India, Manpreet Singh Pawar melangsungkan majlis perkahwinan dengan kekasihnya dari Malaysia,...

Syarikat taikun ambil alih...

Yang ini ttak boleh diterima. Subang merupakan airport dalam bandar yang amat diperlukan...

[Video] Budak sekolah kantoi...

Kes kantoi buat hubungan intim dalam bilik air sekolah time bulan ramadan kejadian...

[Video] #Belanjawan2020: Teks Ucapan Ketua Pembangkang – Dato Seri Ismail Sabri

Mukadimah

1. Terlebih dahulu mewakili seluruh pihak pembangkang, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Bagan, merangkap Menteri Kewangan. Atas pembentangan Belanjawan 2020.

2. Saya pasti, situasi ekonomi negara yang agak tidak memberangsangkan sepanjang tahun ini, kos sara hidup yang meningkat serta harga barang yang tidak juga turun selepas pelaksanaan SST, menyebabkan Belanjawan 2020 menjadi belanjawan yang amat dinanti-nantikan oleh semua pihak.

3. Harapan rakyat kebanyakan sudah pasti menggunung, mengharapkan sesuatu yang bukan sahaja progresif, tetapi mampu memberikan kesejahteraan kepada kehidupan mereka.

4. Malangnya, Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lepas nampaknya lebih memfokuskan kepada golongan pemodal, pelobi dan syarikat-syarikat besar. Dan tidak memberi perhatian serius kepada rakyat biasa serta mereka yang lebih memerlukan.

Penilaian Terhadap Inisiatif dan Belanjawan Tahun 2019

5. Sebelum saya menghujahkan secara terperinci inisiatif yang dibentangkan dalam Belanjawan 2020, saya ingin mengajak seisi dewan untuk mengimbas beberapa kegagalan penting Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun ini, khususnya dalam pelaksanaan Belanjawan 2019.

6. Pertama, kegagalan merangka belanjawan yang lestari dan realistik.

7. Seperti yang kita tahu, untuk tahun 2019, Kementerian Kewangan telah menyediakan belanjawan berasaskan harga minyak mentah pada kadar AS$70 setong.

8. Sandaran ini adalah susulan keyakinan kerajaan bahawa pengurangan hasil cukai dipercayai dapat diimbangkan dengan tambahan hasil berkaitan petroleum yang pada masa tersebut dijangka berjumlah RM5.4 bilion.

9. Pihak Pembangkang dalam perbahasan Bajet 2019 telah mengambil tindakan bertanggungjawab dengan memberi amaran. Bahawa negara akan terperangkap dan hilang pendapatan sekiranya harga minyak turun, sekali gus menegaskan yang perancangan kewangan Kerajaan bukan sahaja tidak stabil, malah berisiko.

10. Malangnya, Menteri Kewangan seperti biasa, angkuh dan berdegil dengan keputusannya. Seperti yang dijangka, seawal tahun 2019 sehingga data terkini, purata harga minyak mentah Brent adalah AS$64.62 setong dengan harga paling rendah pada AS$53.23 setong.

11. Perbezaan harga minyak mentah Brent sekitar USD6 setong ini telah memberikan kesan kepada pelbagai perancangan perbelanjaan kerajaan dan negara.

12. Ketidakcermatan Menteri Kewangan dalam merangka Belanjawan 2019 telah memaksa Kerajaan mengambil tindakan kontigensi yang bukan sahaja terdesak, tetapi cuai dan teruk seperti menjual aset-aset strategik negara serta membuat pinjaman berbilion ringgit, malah mengambil special dividend dari PETRONAS sebanyak RM30 bilion, untuk menutup lompong belanjawan.

13. Kedua, kegagalan merangka Perbelanjaan Mengurus yang mencukupi.

14. Laporan Tinjauan Ekonomi 2020 menunjukkan Perbelanjaan Mengurus telah meningkat sebanyak RM2.4 bilion, daripada RM259.9 bilion kepada RM262.3 bilion. Alasan peningkatan 2.4 bilion kononnya adalah untuk menampung keperluan tambahan bagi program sedia ada, berdasarkan keperluan perbelanjaan kritikal oleh kementerian.

15. Ini termasuklah program subsidi minyak, bantuan makanan untuk sekolah berasrama penuh, perkhidmatan pembersihan sekolah dan bekalan kesihatan, berdasarkan Laporan Tinjauan Ekonomi 2020.

16. Namun, tiada spesifikasi dan pecahan amaun diberikan bagi setiap program ini.

17. Bukan itu sahaja, terdapat peningkatan sebanyak RM797 juta dari anggaran asal RM25.8 bilion kepada RM26.6 bilion yang disebabkan kenaikan tahunan (Annual Increment) dan keperluan untuk menampung kira-kira 853,000 pesara dan penerima (beneficiaries) yang tidak dimasukkan pada awalnya.

18. Adalah sangat cuai dan tidak masuk akal, bahawa ketika merancang Perbelanjaan Mengurus, kerajaan boleh tidak mengambil kira keperluan kenaikan tahunan dan bayaran kepada pesara!

19. Saya yakin perkara ini sebenarnya disengajakan. Sebab itu tidak pelik jika sepanjang tahun ini, kerap sekali wakil-wakil Pakatan Harapan memberikan cadangan untuk mengurang dan menghapuskan pencen pesara. Rupa-rupanya golongan pesara ini sudah awal-awal lagi dikeluarkan dari perbelanjaan mengurus.

20. Kegagalan ketiga, anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2019 adalah jauh berbeza dengan jumlah perbelanjaan pembangunan yang sebenar.

21. Jika tadi, dalam merancang Perbelanjaan Mengurus, peruntukannya kurang dan tidak cukup sebanyak RM2.4 bilion.

22. Untuk Peruntukan Pembangunan pula, peruntukannya ada, tetapi ia gagal dimanfaatkan dengan baik menyebabkan berlaku perbezaan peruntukan sebanyak RM1 bilion antara peruntukan sebenar berjumlah RM53.7 bilion, berbanding jumlah asal sebanyak RM54.7 bilion.

23. Jika kita teliti dengan lebih mendalam mengikut sektor, Perbelanjaan Pembangunan dalam perdagangan dan industri misalnya, mencatatkan nilai sebenar hanya RM3 bilion, iaitu RM2.7 bilion atau 47% lebih rendah daripada peruntukan asal yang jauh lebih tinggi iaitu RM5.7 bilion.

24. Perbelanjaan Pembangunan juga telah gagal dibelanjakan dengan baik untuk subsektor tenaga dan utiliti awam. Peruntukan asal adalah sebanyak RM4.6 bilion. Namun, hanya RM2.6 bilion yang berjaya dibelanjakan.

25. Saya pelik, dan menuntut penjelasan bagaimana boleh berlaku perbezaan anggaran peruntukan sebanyak RM2 bilion atau 43.5% dalam kes ini?

26. Kesemua perbezaan perbelanjaan sebenar berbanding perbelanjaan yang dirancangkan ini menunjukkan dengan jelas ketidakupayaan Menteri Kewangan untuk membuat anggaran yang baik dalam pengurusan kewangan negara.

27. Jadi Tan Sri Speaker, adalah berasas dan tidak pelik untuk Pembangkang meragui segala perancangan kewangan yang dilakukan oleh Menteri Kewangan untuk tahun hadapan.

28. Tambahan pula, bukan sahaja perancangan kewangan Belanjawan 2019 ini gagal dan tidak teliti, malah inisiatif yang diumumkan di dalamnya juga telah gagal dilaksanakan.

29. Saya berikan 3 contoh kegagalan inisiatif dalam Belanjawan 2019.

30. Contoh pertama, Belanjawan 2019 gagal mengambil kira semua golongan sasar dengan teliti, sehinggakan golongan bujang telah tercicir dari kategori penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

31. Kita semua masih ingat, hanya selepas pembangkang desak dan desak, barulah Kementerian Kewangan akhirnya menyedari kesilapan mereka, lalu menawarkan bayaran RM100 kepada 3 juta individu bujang dalam pangkalan data BSH 2018.

32. Contoh kedua, kegagalan perlaksanaan inisiatif gaji minimum RM1100 yang tidak dipantau dengan berkesan.

33. Menteri Sumber Manusia sendiri telah melaporkan pada akhir Jun 2019 bahawa sebanyak 30% daripada majikan masih berkeras dan tidak mematuhi perintah gaji minimum RM1,100.

34. Contoh ketiga, kegagalan pelaksanaan subsidi Petrol RON95 alam Belanjawan 2019.

35. Subsidi petrol RON95 ini yang sepatutnya bermula pada suku kedua 2019. Dan untuk tujuan itu, sebanyak RM2 bilion telah pun diperuntukkan.

36. Namun, sehingga ke akhir suku ketiga tahun ini, masih tiada sebarang berita atau pengumuman berkenaan dengan inisiatif ini.

37. Akhirnya, hanya pada awal Oktober 2019 yang lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terpaksa tampil menjelaskan bahawa jadual pelaksanaan inisiatif petrol tersebut telah tersasar kerana mekanisme lengkap subsidi terbabit perlu mendapatkan kelulusan Kabinet.

38. Justeru, saya menuntut penjelasan kepada Menteri Kewangan. Ke manakah perginya peruntukan RM2 bilion tersebut memandangkan inisiatif subsidi ini tidak pun dilaksanakan pada tahun ini?

Tan Sri Speaker,

39. Ringkasnya, saya telah buktikan bagaimana Belanjawan 2019, sama ada dari segi perancangan mahupun pelaksanaan inisiatifnya, adalah sebuah belanjawan yang gagal dan mengecewakan.

40. Pada peringkat ini sahaja, kita sudah harus berwaspada dan berhati-hati. Kerana, banyak sekali inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 tempoh hari sebenarnya dibuat tanpa berfikir panjang.

41. Jangan sampai pisang berbuah dua kali. Kita tidak mahu Belanjawan 2020 menerima nasib yang sama seperti Manifesto Pakatan Harapan atau pun Belanjawan 2019. Banyak yang diumumkan. Tapi, rupa-rupanya, tersalah kira, tersalah susun dan tidak pun boleh dilaksanakan.

42. Tetapi, kita tidak pelik. Sebab kita memang sudah faham. Sudah menjadi amalan Pakatan Harapan, ‘umum dahulu, fikir kemudian’.

Tan Sri Speaker,

Belanjawan 2020

43. Saya membuat amaran ini bukan suka-suka. Ini kerana, Belanjawan 2020 sepatutnya menjadi Belanjawan paling penting. Terdapat sekurang-kurangnya 4 pemberat yang unik yang menjadikan belanjawan kali ini extra important atau super critical, dengan izin, berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.

44. Pertama, ini adalah belanjawan untuk Wawasan 2020.

45. Tahun yang sepatutnya menyaksikan Malaysia mencapai status negara maju dengan acuan kita sendiri. Maka, untuk satu tahun yang hebat, belanjawannya juga mesti hebat. Ia mesti menawarkan kelainan dan kesegaran yang selayaknya. Bukan sekadar meneruskan titik sentuhan yang lalu dengan peningkatan dan penambahan jumlah dana semata-mata.

46. Kedua, Belanjawan 2020 ini dibentangkan selepas pelancaran rasmi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

47. Memandangkan Wawasan Kemakmuran Bersama dibentangkan sebagai pelan besar Kerajaan, atau lanjutan kepada Wawasan 2020 yang nampaknya gagal dicapai, maka belanjawan ini mesti memberikan jalan awal yang jelas serta strategi-strategi penting bagaimana matlamat dalam WKB2030 akan dapat dicapai. Khususnya dalam menguruskan kesenjangan masyarakat, yang merupakan inti pati utama WKB2030 sendiri.

48. Malangnya, Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan sedikit pun tidak mengambil kira tentang WKB2030 yang dijuarai oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Seolah-olah Menteri Kewangan cuba mensabotaj atau tidak mahu terlibat dalam menjayakan WKB2030 ini.

49. Tetapi, saya boleh faham mengapa Menteri Kewangan mengabaikan WKB2030 dalam Belanjawan kali ini. Sebab, WKB2030 itu sendiri sebenarnya memang bermasalah dan mempunyai beberapa keanehan yang sangat mengelirukan.

50. Misalnya, pertama, pengiraan peratusan pertumbuhan ekonomi yang diperlukan untuk mencapai sasaran KDNK di dalam WKB2030 adalah tidak tepat. Kerana, kadar pertumbuhan yang kita perlukan sebenarnya adalah 7.36% dan bukannya 4.7% seperti yang dibentangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi,

51. Malah, jawapan menteri bahawa perbezaan tersebut kononnya kerana mengambil kira faktor inflasi, adalah tidak meyakinkan.

52. Kedua, di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama, sasaran pendapatan minimum isi rumah B40 yang hendak dicapai pada tahun 2030 adalah sebanyak RM5,800. Barangkali Menteri Hal Ehwal Ekonomi tidak sedar, sasaran ini menunjukkan kenaikan hanya 0.9 kali ganda pendapatan isi rumah B40 berdasarkan kaji selidik yang terkini yang dijalankan pada tahun 2016 iaitu RM3000.

53. Ini bermakna, dari tahun 2016 sebagai titik rujukan sehingga tahun 2030, iaitu 14 tahun, sasaran kenaikan pendapatan minimum isi rumah B40 oleh Pakatan Harapan di bawah WKB2030 tidak sampai pun 1 kali ganda!

54. Saya ingat mereka akan sasarkanlah sekurang-kurangnya kenaikan 1 kali ganda, sekali gus menjadikan pendapatan isi rumah sebanyak RM6000.

55. Walhal, tanpa WKB pun kerajaan BN untuk tempoh yang hampir sama iaitu dari tahun 1999 sehingga 2016 (iaitu 17 tahun) dapat memberi kenaikan pendapatan minimum sebanyak 2.4 kali ganda. Untuk tempoh 2009 hingga 2016 sahaja, angka pendapatan B40 ini boleh naik 1.1 kali ganda.

56. Jadi, bersandarkan wawasan tinggi melangit bahawa KDNK yang dirumuskan mencecah RM3.4 trilion hasil dari kenaikan inflasi sebanyak RM890 bilion, adalah agak pelik jika pendapatan minimum B40 disasarkan naik hanya kurang 1 kali ganda!

57. Pada masa yang sama, peratusan sumbangan pampasan pekerja kepada KDNK atau compensation of employees (CE) untuk wawasan ini disasarkan pula naik sehingga 48% berbanding 35.7% yang dicatat pada tahun 2018.

58. Persoalannya sekarang, jika kenaikan isi rumah B40 disasarkan naik hanya 0.9 kali ganda, maka bagaimana untuk kita mencapai sasaran 48% CE ini?

59. Jawapan mudahnya adalah, penggunaan angka mutlak peningkatan pendapatan isi rumah B40 kepada RM5800 di bawah WKB2030 sebenarnya hanyalah bertujuan untuk mengabui mata rakyat. Sedangkan mekanisme dan sasarannya adalah tidak praktikal, tidak tepat dan tidak pun menggambarkan satu perkongsian kemakmuran bersama.

Tan Sri Speaker,

60. Saya teruskan dengan Pemberat Ketiga yang menjadikan Belanjawan 2020 sebagai super critical adalah kerana ia tahun terakhir RMK-11.

61. Berasaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11, Kerajaan telah merancang supaya projek pembangunan sosioekonomi berimpak tinggi akan diteruskan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

62. Terutamanya dalam merapatkan jurang pembangunan yang masih wujud antara negeri . Untuk itu penekanan yang lebih besar akan diberikan kepada negeri yang kurang membangun, terutamanya Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, bagi memastikan pertumbuhan wilayah yang lebih seimbang.

63. Malangnya, sekalipun Belanjawan 2020 ini adalah belanjawan terakhir RMK-11, ruang dan peluang ini tidak sedikit pun digunakan untuk memberi penekanan kepada pembangunan wilayah secara seimbang.

64. Berbanding Sarawak dan Sabah yang mendapat pelbagai peruntukan, Perlis yang menerima peruntukan besar untuk Chuping, dan Kedah, peruntukan pembangunan Beras Pulut di Langkawi, dan kompleks Bukit Kayu Hitam, malah negeri Menteri Kewangan,Pulau Pinang sendiri turut menerima RM100 juta bagi pembinaan kereta kabel sedangkan Pulau Pinang adalah negeri berpendapatan tinggi, malangnya Negeri Kelantan dan Terengganu nampaknya terus diabaikan tanpa sebarang projek berimpak tinggi!

65. Di manakah peruntukan untuk projek berimpak tinggi bagi Kelantan dan Terengganu seperti yang ditegaskan oleh Pakatan Harapan sendiri dalam Kajian Separuh Penggal RMK-11?

66. Memandangkan Belanjawan 2020 mendiskriminasi Kelantan dan Terengganu, saya tuntut agar inilah masanya untuk memberikan royalti minyak sebanyak 20% kepada kedua-dua negeri tersebut!

Tan Sri Speaker,

67. Pemberat keempat yang menjadikan Belanjawan 2020 sebagai kritikal adalah kerana tahun hadapan adalah tahun yang sukar dari segi cabaran ekonomi sama ada secara mikro mahupun makro.

68. Indeks “global economic policy uncertainty” yang dirumuskan oleh OECD dan diguna pakai oleh IMF, menunjukkan kebarangkalian akan berlaku kegawatan pada tahun depan adalah tinggi.

69. Malah, pada Julai lepas, pakar ekonomi organisasi tersebut dalam persidangan persiapan pelan Rancangan Malaysia ke-12 yang dikendalikan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi telah memaklumkan perkara yang sama.

70. Jadi, Menteri Hal Ehwal Ekonomi pasti peka akan perkara ini. Namun, barangkali maklumat penting ini tidak dikongsikan dengan Menteri Kewangan. Kerana, seperti yang saya katakan tadi, kedua-dua mereka seolah-olah bersaing dan mempunyai agenda masing-masing yang berlainan.

71. Pada masa yang sama, Laporan “Trade and Development 2019” oleh PBB yang baru sahaja dilancarkan turut menyatakan bahawa kebarangkalian kegawatan ekonomi global tahun hadapan adalah satu risiko yang amat nyata.

72. Yang merisaukan kita sekarang, keupayaan negara untuk berhadapan dengan semua itu adalah sangat rendah dan membimbangkan. Ketidakupayaan ini disebabkan oleh beberapa aspek.

73. Antaranya, ruang untuk tindakan polisi yang efektif bagi negara pada masa terdekat ini semakin mengecil.

74. Sungguhpun defisit fiskal negara yang diunjurkan pada 3.2% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) masih pada tahap yang tidak kritikal, struktur pendapatan hasil semasa kerajaan persekutuan pada ketika ini adalah membimbangkan.

75. Struktur cukai yang masih kelam kabut, ketiadaan dividen khas dari PETRONAS, kehilangan dividen dari aset-aset kerajaan yang telah terjual, cukai pendapatan petroleum yang mengecil serta pungutan cukai SST yang sub-par iaitu hanya mencapai RM28.2 bilion atau sekadar 64% dari pungutan GST yang direkodkan tiga tahun sebelumnya, dan hasil kerajaan persekutuan diunjurkan yang menguncup sebanyak 7.1% bagi tahun 2020.

76. Kesemua ini menggambarkan yang pendapatan kita adalah tidak menentu dan ruang polisi fiskal kita sangat merisaukan.

77. Pada masa yang sama, hutang kerajaan persekutuan dijangkakan terus meningkat sebanyak RM58 bilion menjadi RM799.1 bilion bagi tahun 2019 setelah naik sebanyak RM54 bilion pada tahun 2018.

78. Ini bermakna kerajaan PH telah menambah hutang sebanyak RM112.3 bilion dalam masa setahun setengah sahaja pemerintahan mereka. Secara puratanya, Pakatan Harapan telah menambah hutang sebanyak RM74.9 bilion setahun.

79. Dan kalau kita ikut kaedah pengiraan hutang oleh Menteri Kewangan, memandangkan sebelum ini hutang negara dikatakan sebanyak RM1 trilion, ini bermakna hutang negara sekarang adalah sebanyak RM1.1123 trilion, iaitu peningkatan sebanyak RM112.3 bilion yang ditambah oleh PH sendiri dalam tempoh setahun setengah ini.

80. Sebagai perbandingan, hutang kerajaan persekutuan hanya bertambah sebanyak RM38.4 bilion pada tahun 2017.

81. Nisbah hutang kerajaan kepada KDNK pula meningkat daripada 48.7% pada suku pertama 2018 sebelum PH mengambil alih kerajaan, kepada 52.7% pada September 2019 selepas mereka memerintah.

82. Selain itu, ekonomi negara berhadapan risiko pertumbuhan sangat perlahan; nilai mata wang ringgit berada pada tahan paling lemah, bukan sahaja berbanding mata wang utama dunia tetapi juga mata wang serantau; dan indeks saham terus menurun mencecah paras terendah dalam masa 4 tahun dan pelbagai lagi kegagalan yang jelas.

83. Pada masa yang sama Rizab Antarabangsa negara sebenarnya semakin mengecil, iaitu daripada USD107.8 bilion pada akhir suku pertama 2018 kepada USD103 bilion pada suku ketiga 2019.

84. Yang ajaibnya, semasa pembentangan Jumaat lepas, Menteri Kewangan menyifatkan rizab antarabangsa negara kita kekal teguh. Adakah maksud YB Menteri Kewangan, ketika berlakunya penguncupan rizab antarabangsa, ia masih layak dikatakan sebagai kekal kukuh?

85. Lebih penting, semua kelemahan dan kerapuhan yang saya ceritakan ini, tidak juga bertambah baik sekalipun setelah kerajaan menjual pelbagai aset strategik negara di bawah GLC.

86. Contohnya, IHH Healthcare Bhd dari Khazanah Nasional kepada Mitsui & Co., ORC daripada M+S kepada beberapa firma Hong Kong dan Singapura serta Hotel Andaz di Singapura.

87. Sehingga kini, saya difahamkan jumlah penjualan aset-aset negara dianggarkan sudah mencecah hampir RM41 bilion, yang kebanyakannya adalah aset Khazanah Nasional Berhad yang selama ini mendatangkan pulangan yang tinggi kepada kerajaan.

88. Dan semua ini YB Speaker, terjual dalam masa kurang setahun!

89. Pembangkang akui bahawa jual beli aset ini bukan perkara yang pelik dan salah. Tetapi ia haruslah dipimpin oleh pertimbangan komersial yang baik dan strategik.

90. Saya juga akui bahawa adalah wajar jika kita menjual dan melepaskan aset-aset yang bermasalah. Persoalannya, apakah rasional menjual aset-aset yang tidak bermasalah dan sedang memberikan pulangan?

91. Misalnya, pelepasan IHH. Ia bukan sahaja memberikan kita pulangan, malah melepaskan pegangan dalam hospital bertaraf dunia seperti Prince Court Medical Centre, sudah pastilah bertentangan dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan yang disebutkan sendiri dalam Belanjawan 2020 ini.

92. Pada saya, semua ini sebenarnya tidak ubah seperti satu karnival mega sale oleh Pakatan Harapan. Jual dan terus jual. Kerana, sehingga ke saat ini, Kerajaan tidak pun membentangkan bagaimanakah hasil penjualan aset-aset strategik ini akan digunakan untuk membayar hutang negara.

93. Jika ia bertujuan untuk mengambil peluang keuntungan dan merancang pelaburan semula, saya tuntut Menteri Hal Ehwal Ekonomi untuk membentang pelan sedemikian dengan jelas dan terperinci selepas ini.

Tan Sri Speaker,

94. Baru-baru ini, Indeks Persaingan Dunia menunjukkan bahawa kedudukan Malaysia yang berada pada tangga ke-27 terus merosot apabila kita jatuh lagi anak tangga berbanding tahun sebelumnya.

95. Sedangkan mengikut Laporan Prestasi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), sasaran Pakatan Harapan adalah untuk kita berada pada tangga ke-20 pada tahun ini dan tahun hadapan.

96. Justeru, saya ingin bangkitkan adalah, tatkala kita sudah tergelincir 7 anak tangga dari sasaran, yang juga merupakan kedudukan terburuk dalam sejarah negara, mengapakah Belanjawan 2020 tidak memperincikan inisiatif khusus yang jelas bagi meningkatkan tahap kebolehsaingan negara?

97. Yang ada hanyalah kenyataan bahawa beberapa langkah dan prosedur tertentu dalam melakukan perniagaan akan dikurangkan, selain penambahbaikan pelabuhan Kelang.

98. Sedangkan kebolehsaingan negara sangat bergantung kepada pelbagai aspek. Termasuklah dasar dan pendirian kerajaan yang mesti bersifat profesional dan tidak boleh bercanggah-canggah.

Tan Sri Speaker,

99. Keempat-empat pemberat unik yang saya nyatakan sebentar tadi menjadikan belanjawan 2020 sebagai super critical dan extra important, dengan izin.

100. Cuma, yang hairan dan peliknya, mengapa Menteri Kewangan boleh menjadi begitu cuai sehinggakan Belanjawan 2020 tidak langsung mengambil sebarang jalan proaktif untuk memasukkan langkah-langkah kontigensi atau mitigasi dalam berhadapan dengan kemungkinan kegawatan ekonomi?

101. Atau mungkin Pakatan Harapan bercadang untuk mengambil jalan pintas dengan menjarah sahaja pemberian dividen istimewa daripada PETRONAS sekali lagi, seperti yang dilakukan pada tahun ini?

Belanjawan 2020 – Inisiatif

Tan Sri Speaker,

102. Pembangkang percaya, banyak pengumuman dan inisiatif yang diumumkan tidak lebih dari sekadar menanam tebu di pinggir bibir, indah khabar dari rupa!

103. Lebih penting, kita boleh merumuskan yang Belanjawan 2020 ini adalah belanjawan kapitalis yang meminggirkan luar bandar Malaysia. Yang kaya diutamakan, yang miskin dan memerlukan, tidak begitu dipedulikan.

104. Misalnya, demi menjaga dan memelihara kapitalis dan para pemodal besar, Belanjawan 2020 menawarkan inisiatif yang sangat menarik. Misalnya:

a. Pelaburan baharu bagi taman tema antarabangsa diberikan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus daripada pendapatan berkanun atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus ditolak sehingga 70 peratus untuk lima tahun;

b. Dasar terbaharu yang merendahkan nilai ambang kepada warga asing yang sangat memihak kepada pemaju yang berorientasikan keuntungan.

c. Pakej galakan pelaburan istimewa bernilai sehingga RM1 bilion setahun untuk tempoh 5 tahun iaitu langkah strategik untuk menarik syarikat Fortune 500 dan global unicorns untuk mengukuhkan ekosistem pembuatan dan perkhidmatan.

105. Yang menyedihkan, tidak pula ada sebarang dasar baharu atau inisiatif khas secara besar-besaran untuk menambah baik kehidupan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar dan mereka yang memerlukan.

Nelayan

106. Misalnya Bantuan Sara Hidup Nelayan, dikurangkan dari RM300 semasa zaman BN kepada hanya RM250.

107. Sepatutnya, ketika zaman semakin mencabar dan hasil berkurangan, bantuan ini ditambah, bukan dipotong!

108. Kita memerlukan dasar dan pelan yang khusus untuk meningkatkan taraf hidup dan pendapatan golongan ini.

109. Terutamanya dalam jihad memerangi dominasi serta spekulasi orang tengah seperti yang dimulakan oleh BN dahulu.

110. Kita mesti faham sebarang cadangan berkaitan projek akua dan laut serta bersesuaian dengan cara hidup nelayan. Bukannya suruh nelayan menjadi petani sampingan!

PADI

111. Selain itu, peruntukan Industri Padi dan Beras dipotong daripada RM69.2 juta kepada RM66.1 juta. Ini sepatutnya
tidak berlaku!

112. Saya juga ingin mendapatkan penjelasan tentang kelewatan penghantaran benih padi sah. Keadaan ini menyebabkan petani berisiko terlepas kitaran penanaman seperti yang ditetapkan sendiri dalam Rice Check atau Manual Tanaman Padi oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

113. Malah, agensi-agensi yang berkaitan dengan padi dan industri beras dan pertanian juga dipotong peruntukan-peruntukannya.

114. Misalnya:

a. Peruntukan Pertanian dipotong sebanyak RM4.1 juta daripada RM194.1 juta kepada RM180 juta.

b. Peruntukan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dipotong RM3 juta daripada RM215 juta kepada RM212 juta.

c. Peruntukan Industri Agromakanan dan Keusahawanan Tani dipotong RM18 juta daripada RM262 juta kepada RM244 juta.

d. Peruntukan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian dan Pertanian Persekutuan (FAMA) dipotong sebanyak RM11 juta daripada RM182 juta kepada RM171 juta.

e. Peruntukan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dipotong sebanyak RM26 juta daripada RM190 juta kepada RM164 juta.

115. Saya cadangkan kita memberi perhatian yang lebih besar dalam hal ini. Misalnya dengan memberikan peruntukan untuk membekalkan mesin-mesin besar dan teknologi baharu, yang disalurkan menerusi institut peladang.

116. Pada masa yang sama, saya menuntut pelan khusus dari kerajaan untuk berhadapan dengan dominasi kilang-
ilang besar.

117. Malah, secara kolektifnya, 2 kementerian penting yang melibatkan golongan yang terdedah kepada tekanan ekonomi iaitu Kementerian Luar Bandar dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerima peruntukan yang lebih rendah pada tahun 2020 berbanding tahun 2018 iaitu masing-masing berkurangan sebanyak 11% atau RM1 bilion dan 25% atau RM1.6 bilion.

118. Kesemua ini dengan jelas membuktikan betapa syarikat-syarikat besar dan golongan pemodal dianak-emaskan. Manakala, mereka yang memerlukan, dianaktirikan.

FELDA -SAWIT

119. Untuk FELDA misalnya, saya sedar ada beberapa perkara telah diumumkan kepada FELDA. Tetapi, ada beberapa perkara besar yang digelapkan oleh Menteri Kewangan, Menteri Industri Utama dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam hal ini.

120. Pertama, insentif skim tanaman semula sawit. Sebelum ini, insentif ini diberikan dalam bentuk geran yang tidak perlu dibayar semula, Kini, ia sudah ditukarkan menjadi pinjaman yang wajib dibayar.

121. Maknanya, sekarang ini, para pekebun dan peneroka bukan sahaja terhimpit dengan kejatuhan harga komoditi. Malah. mereka terpaksa berhutang lebih banyak kerana sudah tidak ada geran penanaman semula.

122. Impaknya, mereka akan terus menerus dibelenggu hutang!

123. Kedua, dalam pembentangan Kertas Putih FELDA sebelum ini, yang berhormat Menteri Hal Ehwal Ekonomi ada menyebut implikasi kewangan sebanyak RM6.2 bilion kepada FELDA dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan Kerajaan.

124. Jadi, berapakah pecahan-pecahan kepada setiap perkara ini? Apakah statusnya dan mengapa perkara ini tidak ada dalam Belanjawan 2020?

125. Ketiga, selepas berbelas-belas kali lawatan keluar negara, Menteri Industri Utama masih belum membentangkan apakah status hasil perbincangan kita dengan Kesatuan Eropah (EU)?

126. Dan apakah dasar baharu atau langkah-langkah proaktif dan inovatif yang akan diambil untuk berhadapan dengan kejatuhan harga komoditi? Terutamanya untuk mencari pasaran baharu sawit kita susulan boikot daripada India dan usaha kerjasama untuk menyelaraskan harga dengan Indonesia.

GETAH

127. Seterusnya, berhubung dengan getah, saya berterima kasih kepada Kerajaan kerana meneruskan inisiatif saya dahulu terutamanya pemberian bantuan khas musim tengkujuh.

128. Namun, apakah pelan dan strategi jangka panjang untuk kita berhadapan dengan harga getah yang terus jatuh dan tidak stabil?

129. Lebih-lebih lagi apabila Peruntukan Lembaga Getah Malaysia dipotong sepenuhnya daripada RM10 juta kepada RM0!

130. Jadi bagaimanakah aktiviti R&D getah akan berjalan dengan baik?

Tan Sri Speaker,

131. Saya akui, terdapat satu dua inisiatif yang baik yang telah diumumkan oleh Kerajaan. Antaranya, pemerkasaan ekosistem perbankan dan ekonomi Islam, peruntukan kepada sistem penjagaan kesihatan dan perubatan negara kita termasuklah vaksinasi pneumokokal untuk kanak-kanak dalam program Imunisasi Kebangsaan (NIP), pemfokusan yang besar kepada ekonomi digital di pelbagai peringkat dan peruntukan yang besar kepada sektor pendidikan.

132. Namun, sekalipun sektor pendidikan menerima peruntukan terbesar, jika kita teliti ia sebenarnya sangat tidak adil dan tidak berpadanan. Walaupun kerajaan cuba untuk memerangkap kita dengan sentimen inklusif dan kesamarataan.

133. Misalnya, 60 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina mendapat RM15 juta. Apabila dihitung puratanya, 1 sekolah menengah persendirian Cina mendapat kira-kira RM0.25 juta.

134. Jumlah ini sebenarnya adalah 6.5 kali ganda atau 555% lebih tinggi daripada purata jumlah peruntukan yang diterima oleh Sekolah Kebangsaan yang menerima hanya RM38,172 untuk 1 sekolah.

135. Sekiranya dibandingkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) pula, 1 SJKT mendapat secara purata 2.5 kali ganda lebih banyak berbanding 1 SJKC.

136. Dan sekiranya pengagihan peruntukan ini dihitung berdasarkan bilangan kelas, 1 kelas Sekolah Kebangsaan mendapat hanya sebanyak RM1,986 peruntukan naik taraf. Sedangkan 1 kelas SJKC mendapat sebanyak RM2,602 dan SJKT mendapat sebanyak RM11,299.

137. Justeru, Pembangkang menggesa dilakukan semakan semula bagi peruntukan kepada semua jenis sekolah di negara kita. Pembahagian peruntukan kewangan yang lebih adil dan berpadanan haruslah berpandukan bilangan sekolah dan jumlah pelajar. Bukannya sekadar bersifat pukul rata.

138. Pada masa yang sama, saya harap 3 perkara berikut akan dijawab oleh Menteri Pendidikan.

139. Pertama, memandangkan Belanjawan 2020 langsung tidak menyentuh tentang institusi pengajian tinggi, berapa peratuskah peruntukan kementerian pendidikan akan disalurkan kepada pengajian tinggi? Dan adakah ia mengambil kira keputusan untuk tiba-tiba menggabungkan UNISZA dan UMT?

140. Kedua, Pembangkang sangat berharap yang sebelum menurunkan peruntukan kepada sekolah-sekolah di peringkat negari, Menteri Kewangan tidak akan sekali lagi meletakkan syarat kepada Kerajaan Negeri untuk melangsaikan hutang mereka kepada Kerajaan Persekutuan terlebih dahulu seperti yang dikenakan ke atas negeri Sarawak sebelum ini.

141. Ketiga, mengapa dalam Belanjawan ini langsung tidak disentuh tentang PTPTN? Apakah sebenarnya pelan Menteri Pendidikan berhubung perkara ini?

Tan Sri Speaker,

RM500 pada Graduan

142. Kelemahan serta kegagalan Belanjawan 2020 dapat dilihat dalam beberapa inisiatif lagi.

143. Misalnya, pemberian RM300 kepada majikan dan gaji tambahan sebanyak RM500 selama 2 tahun kepada graduan yang sudah menganggur selama 12 bulan.

144. Terdapat 4 kepincangan utama dalam inisiatif ini.

145. Pertama, apakah tujuan pemberian insentif RM500 dan RM300 tersebut? Adakah ia sebagai gaji tambahan atau apa?

146. Yang pasti, saya tegaskan perkara ini tidak pun memudahkan mana-mana graduan mendapat pekerjaan dengan lebih cepat dan mudah. Bukankah lebih baik jika peruntukan tersebut digunakan untuk tujuan pembinaan kapasiti atau membantu mereka mendapatkan kerja?

147. Kedua, bagaimanakah kerajaan akan memastikan elaun RM500 ini tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak yang sengaja memastikan mereka tidak mendapat kerja bagi tempoh 12 bulan?

148. Pada masa yang sama, bagaimana untuk memastikan yang pihak majikan pula tidak dengan sengaja tidak mengambil graduan yang belum menganggur selama 12 bulan?

149. Ini kerana, jika mereka mengambil hanya graduan yang sudah menganggur selama 12 bulan, majikan akan berpeluang mendapat RM300 bagi seorang pekerja selama 2 tahun. Jadi, akan berlaku kecenderungan majikan untuk hanya mengambil graduan yang sudah menganggur selama 12 bulan terlebih dahulu.

150. Ketiga, jika ditakdirkan selepas 12 bulan menganggur, dan pada bulan ke-13 atau ke-14 graduan tersebut mendapat pekerjaan dengan gaji RM4 hingga RM5 ribu sebulan, adakah RM500 dan RM300 ini akan turut diberikan kepada graduan dan majikan yang terlibat?

151. Dan keempat, apakah rasional pemberian gaji tambahan ini sehingga 2 tahun selepas mendapat pekerjaan? Apakah matlamat dan kepentingannya? Bukankah mereka sudah pun mendapat pekerjaan?

152. Pembangkang percaya, inisiatif ini sangat bermasalah dan tidak akan membantu menyelesaikan masalah pengangguran graduan. Sekurang-kurangnya, tidak untuk mereka yang belum menganggur selama 12 bulan.

153. Saya tuntut Menteri Sumber Manusia untuk menjelaskan perkara ini.

154. Malah, inisiatif berhubung peningkatan gaji minimum sebanyak RM1,200 juga dilihat tidak ikhlas kerana hanya dihadkan bandar-bandar utama.

155. Perkara ini menuntut 3 penjelasan utama.

156. Pertama, apakah strategi Menteri Sumber Manusia untuk menguruskan para majikan yang berdegil ini? Jika RM1100 sahaja pun, sudah 30% majikan berkeras dan tidak mematuhinya seperti yang dilaporkan sendiri oleh YB Menteri Sumber Manusia. Inikan pula RM1200. Makin ramailah yang akan berdegil.

157. Kedua, apakah definisi bandar-bandar utama dalam inisiatif
ini? Adakah ibu-ibu negeri atau bagaimana?

158. Ketiga, apakah jaminan Kerajaan bahawa impak pelaksanaan dasar ini tidak akan menyebabkan para majikan lari meninggalkan bandar-bandar utama selepas ini dan memilih untuk beroperasi di bandar-bandar lain yang tidak disifatkan bandar utama demi menjimatkan kos.

Tan Sri Speaker,

159. Inisiatif bermasalah yang seterusnya, adalah berhubung keputusan yang memihak dan bersifat pro pemaju hartanah, iaitu pengurangan nilai ambang rumah pangsapuri sebanyak 40% dari RM1 juta kepada RM600 ribu sahaja untuk direbut oleh warga asing.

160. Sekalipun semalam Menteri Kewangan telah melakukan ‘damage control’ melalui kenyataan akhbar semalam dengan tiba-tiba menambah kriteria baharu bahawa inisiatif ini hanyalah untuk hartanah yang masih tidak terjual dalam tempoh Januari hingga Disember 2020 sahaja, masih terdapat 3 kepincangan utama dalam inisiatif ini.

161. Pertama, ia sangat memihak dan bertujuan menjaga keuntungan pemaju dengan memastikan segala lebihan tawaran yang ada akan dilupuskan. Isunya, bagaimana Kerajaan akan memastikan dasar pro pemaju dan pro warga asing ini tidak akan menyebabkan persaingan yang tidak wajar dengan rakyat tempatan kelak?

162. Bayangkan pembeli dari Singapura sudah pasti akan berlumba-lumba mengaut segala hartanah yang ada kerana kini mereka hanya memerlukan SGD200 ribu. Sedangkan dengan jumlah tersebut, belum tentu mereka akan mampu memberi rumah yang baik di Singapura.

163. Itu kira belum bercakap lagi tentang warga negara lain seperti Australia, Amerika, Eropah mahupun China yang pasti akan mengambil kesempatan ekoran kejatuhan Ringgit Malaysia yang berterusan

164. Yang menariknya, jika dulu, bukan main lantang BN dituduh dan dikecam teruk bila membenarkan warga asing membeli hartanah bernilai RM1 juta ke atas di zon antarabangsa seperti Forest City.

165. Saya masih ingat, YAB Langkawi sampai turun ke tepi jalan untuk bergambar di papan tanda menuju ke Forest City sambil berkempen menyatakan kerisauan bagaimana kita kononnya Johor sedang menjual negara.

166. Sekarang bila Bagan ingin membawa masuk lebih ramai warga asing untuk memberi hartanah, pada harga lebih murah, tanda had unit bagi seorang dan syarat kawasan, adakah Langkawi hanya mampu membisu?

167. Jika ini bukan menjilat ludah sendiri, saya tidak tahu apakah ia.

168. Kedua, dengan melaksanakan dasar pro pemaju ini, bagaimana kerajaan akan memastikan pemaju yang dibela bersungguh-sungguh ini tidak akan membina lagi rumah mampu milik, sebaliknya memberi fokus untuk membina sahaja rumah bernilai RM600 ribu ke atas sahaja pada tahun hadapan?

169. Ketiga, bagaimana pula untuk kita menghentikan tindakan pemaju daripada menaikkan harga rumah sedia ada yang lebih rendah dari RM600 ribu, misalnya RM450 ribu hingga RM590 ribu menjadi RM600 ribu?

170. Sepatutnya pemaju akan turunkan harga apabila unit-unit ini tidak terjual. Tetapi sekarang, harganya akan dilambung lebih tinggi agar boleh dilepaskan kepada warga asing.

171. Kita mesti faham, apabila ada unit yang tidak terjual sepenuhnya, belum tentu pemaju itu akan rugi. Mereka selalunya sudah membuat untung. Jadi, polisi ini sebenarnya bukan mahu mengelakkan pemaju dari rugi. Tetapi mahu memastikan pemaju dapat memaksimumkan keuntungan sebanyak mungkin, dengan dibantu oleh Kerajaan.

172. Jadi sekarang ini, siapa yang kerajaan hendak bela dan lindungi? Pemaju yang mengejar keuntungan berganda atau rakyat tempatan yang tidak pun mampu membeli rumah?

173. Inilah Malaysia Baharu. Kita kini menggunakan belanjawan negara untuk memberi manfaat kepada warga asing. Ingatkan Kemakmuran Bersama itu adalah sesama kita, rupanya kemakmuran yang dikongsikan dengan warga asing!

Tan Sri Speaker,

174. Saya ingin cadangkan. Sekalipun kita ingin mengurangkan lebihan rumah tidak terjual, kita boleh lihat apa yang dilakukan oleh Kerajaan Hong Kong, yang mengenakan cukai kepada hartanah yang tidak terjual selepas 12 bulan siap atau tidak disewakan. Kadar cukai yang dikenakan adalah 200% dari nilai cukai tahunan.

175. Ini adalah alternatif yang lebih baik untuk mengawal lebihan hartanah tidak terjual sekali gus, memastikan pemaju membina rumah mengikut keperluan dan permintaan bukannya mengikut keuntungan dan ketamakan!

176. Justeru, saya tuntut dan desak dengan sekeras-kerasnya agar, nilai harga ambang hartanah kepada warga asing dikekalkan kepada RM1 juta dan tidak diturunkan kepada RM600 ribu seperti dalam Belanjawan 2020. Janganlah kera di hutan disusukan, anak bangsa di negara sendiri mati kelaparan.

Tan Sri Speaker,

177. Inisiatif yang bermasalah yang berikutnya adalah pemberian subsidi minyak bersasar.

178. Pada tahun hadapan, sekali lagi Pakatan harapan cuba untuk memperkenalkan subsidi petrol bersasar. Namun, subsidi sebanyak kira-kira RM1.04 sehari ini tidak akan membantu meringankan pun beban mereka yang tersenarai sebagai penerima BSH.

179. Lebih teruk, inisiatif ini sebenarnya tidak memikirkan nasib B40 yang tidak mempunyai kenderaan sendiri tetapi menggunakan pengangkutan awam?

180. Bukankah mereka tidak berpeluang menerima manfaat RM1 sehari subsidi bersasar petrol ini? Malangnya, ekoran daripada inisiatif ini, tidak mustahil tiket bas atau pengangkutan awam yang lain akan naik kerana harga minyak sudah diapungkan.

181. Jika ini berlaku, maka golongan B40 yang tidak mempunyai kenderaan sendiri ini ibarat jatuh ditimpa tangga. Sudahlah tidak berpeluang menerima subsidi minyak bersasar kerana tidak mempunyai kenderaan sendiri. Terpaksa pula bergelut dengan tambang pengangkutan awam yang akan naik.

182. Malah, tidak pelik, jika harga minyak diapungkan kelak, harga barang juga akan naik disebabkan oleh kos pengangkutan yang meningkat. Dan kos tambahan ini, sudah pastilah akan dipindahkan ke bahu pengguna, sekali lagi.

183. Justeru, saya tuntut jaminan dari Menteri Kewangan bahawa inisiatif ini tidak akan menaikkan tambang pengangkutan awam pada tahun hadapan!

Tan Sri Speaker,

184. Untuk inisiatif seterusnya saya ingin merujuk kepada pengurangan yang tidak wajar kepada peruntukan usahawan India.

185. Semasa zaman BN, kita telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk tujuan pembangunan usahawan masyarakat India melalui TEKUN Nasional yang memberi manfaat kepada kira-kira 35 ribu orang usahawan India.

186. Namun, dalam Belanjawan 2020 oleh PH, hanya RM20 juta diperuntukkan bagi tujuan yang sama.

187. Apakah justifikasi pengurangan sebanyak RM30 juta peruntukan kepada masyarakat India ini? Bukankah sepatutnya jumlah tersebut ditambah dan ditingkatkan lagi bagi memastikan komuniti usahawan di negara kita diwakili dan disertai oleh pelbagai kaum dengan kadar yang lebih seimbang.

188. Jadi saya mendesak agar peruntukan RM20 juta ini dinaikkan kembali kepada RM50 juta, seperti yang diberikan oleh BN dulu.

Tan Sri Speaker,

189. Inisiatif yang juga bermasalah adalah pemberian diskaun 18% tol Lebuhraya PLUS.

190. Janji Pakatan Harapan adalah penghapusan terus tol. Kalaupun janji kosong ini ingin dilakukan secara berperingkat-peringkat, memandangkan kita sudah masuk tahun kedua, sepatutnya diskaunnya adalah 40% bukannya 18%.

191. Ini kerana, hanya dengan pemberian diskaun 20% setahun barulah sasaran tol percuma akan tercapai dalam penggal ini.

192. Jadi, saya minta pakar formula tol Pakatan Harapan, YB Damansara untuk menjelaskan kenapa belum dihapuskan tol sepenuhnya? Dan kalaupun hendak sekadar memberi diskaun, mengapa 18% dan bukannya 40%?

Tan Sri Speaker,

193. Seterusnya, saya bangkitkan berkenaan dengan pertambahan kadar cukai sebanyak 2% lagi kepada mereka berpendapatan RM2 juta setahun.

194. Memandangkan inisiatif ini hanya melibatkan 2 ribu orang, saya mencadangkan agar inisiatif ini dikembangkan juga kepada individu yang mempunyai pendapatan bercukai melebihi RM1 juta dan bukannya hanya pada pendapatan bercukai RM2 juta setahun sahaja.

195. Ini kerana, mengikut definisi sekalipun, mereka yang berpendapatan RM1 juta setahun ini sudah boleh dikira sebagai high net worth individual.

Tan Sri Speaker,

196. Seterusnya saya ingin tegaskan bahawa sebenarnya Belanjawan 2020 tidak menawarkan inisiatif khusus secara langsung untuk golongan M40. Sebaliknya, mereka disebut semata-mata untuk mengisi syarat atau menumpang kesan inisiatif kepada kelompok lain.

197. Golongan M40 ini purata pendapatan mereka adalah dari RM6,500 hingga RM16,000. Akan tetapi inisiatif-inisiatif yang dikenal pasti dan dicadangkan untuk memastikan golongan ini merasa hasil pertumbuhan ekonomi negara adalah tidak masuk akal.

198. Jika kerajaan PH memang bersungguh untuk meningkatkan taraf hidup atau meringankan bebanan sara hidup golongan ini, carilah inisiatif-inisiatif yang lebih bermakna dan boleh capai.

199. Ini tidak. Amat memeranjatkan apabila inisiatif #MalaysiaKerja dikatakan turut mensasarkan golongan M40. Bukankah golongan M40 ini memang sudah ada punca pendapatan dan sebab itu mereka dikategorikan dalam golongan M40?

200. Lebih memeranjatkan, 37% atau 130,00 pekerjaan yang ditawarkan dalam masa lima tahun akan datang adalah diandaikan dilakukan oleh pekerja asing. Adakah ini bermaksud, pekerja asing pun ada yang tergolong dalam M40 selama ini?

201. Jadi, saya ingin Kerajaan tunjukkan, bagaimanakah anda mahu memastikan yang golongan M40 yang berpendapatan RM6,500 hingga RM16,000 ini dapat merasa nikmat pertumbuhan ekonomi dengan inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan?

Tan Sri Speaker,

202. Saya ingin merujuk kepada Kementerian Pertahanan.

203. Saya minta YB Menteri Pertahanan untuk menunjukkan strategi dan pelan yang akan kita gunakan untuk memastikan wujudnya peluang peralihan yang cerah kepada kerjaya kedua kepada anggota tentera kita.

204. Ini kerana, kebanyakan anggota tentera kita adalah golongan muda yang bersara awal di bawah umur 41 tahun.

205. Jadi, kementerian mesti mempunyai pelan dan strategi yang konkrit dan berkesan untuk membantu penerokaan kerjaya kedua kepada mereka.

206. Seterusnya berhubung dengan skim My Salam.

207. Sebelum ini ada dinyatakan bahawa, monopoli Great Eastern selaku penyedia perkhidmatan akan dikurangkan dengan melibatkan juga penyedia-penyedia insurans / takaful yang lain. Perkara ini tidak dinyatakan oleh Menteri Kewangan.

208. Adalah skim MySalam akan terus dilaksanakan melalui kerjasama secara monopoli oleh Great Eastern atau akan dibuka? Siapakah para penyedia perkhidmatan takaful/insurans lain yang sudah dikenal pasti oleh kerajaan?

209. Dan terakhir, saya ingin merujuk secara khusus kepada negara Kedah. Saya sedar Kedah adalah negeri jelapang padi. Jadi, tidak peliklah jika kita mahu merancakkan dan meningkatkan penanaman beras pulut di sana dengan peruntukan sehingga RM30 juta untuk 1200 petani.

210. Yang peliknya adalah, mengapa pemfokusan ini dijalankan di Pulau Langkawi yang merupakan sebuah Bandaraya Pelancongan? Dan bukannya di daerah-daerah lain yang memfokuskan kepada penanaman padi seperti kota Setar dan Kubang Pasu?

211. Sepatutnya, sekalipun ingin disalurkan peruntukan kepada Langkawi, aspek yang lebih baik adalah dengan memperkasakan industri pelancongan pulau tersebut atau sektor perikanannya. Misalnya, memberi peruntukan dana bagi meneroka teknologi perikanan laut dalam. Bukan tanam padi pulut di pulau tersebut.

Tan Sri Speaker,

Penambahbaikan Yang Perlu Dipertimbangkan.

212. Akhir sekali, memandangkan terlalu banyak kepincangan dalam Belanjawan 2020, saya ingin memberikan beberapa cadangan konstruktif dan saranan penambahbaikan yang wajar dipertimbangkan oleh pihak Kerajaan.

213. Pertama, saya sangat berharap Kerajaan akan mempertimbangkan semula sandaran kepada harga minyak mentah Brent pada kadar USD62 setong.

214. Sandaran pada kadar USD62 setong ini bukan sahaja tidak cekap, malah bercanggah dengan pelbagai analisis yang meramalkan kejatuhan harga minyak mentah Brent.

215. Menurut US Energy Information Administration (EIA) dan juga kartel negara pengeluar minyak, OPEC, minyak mentah Brent akan terus jatuh ke paras US$57 setong pada suku kedua tahun hadapan dari harga sekarang iaitu US$60 setong. Malah, sepanjang tahun ini, harga tertinggi yang dicatatkan hanyalah USD60 setong.

216. Semakan semula ini penting bagi memastikan segala inisiatif yang disebutkan dalam Belanjawan 2020 dapat dilaksanakan.

217. Kedua, pembangkang percaya, untuk terus maju ke hadapan, perbelanjaan kewangan kerajaan adalah aspek kritikal yang penyusunannya harus dipimpin oleh beberapa matlamat besar.

218. Biarpun Belanjawan 2020 memberikan fokus yang besar kepada ekonomi digital, kita mesti turut menyediakan asas-asas yang kuat kepada pertumbuhan sektor Ekonomi Kalis Masa Depan atau future-proof economy, yang tidak hanya terhad kepada ekonomi digital.

219. Untuk itu, pembangkang menyarankan kepada Kerajaan untuk menubuhkan satu jawatankuasa atau pasukan khas bagi meneliti perkara ini. Antara perkara yang mesti dilihat secara teliti adalah, apakah bentuk-bentuk persediaan yang negara harus lakukan untuk berhadapan dengan cabaran dan ketidaktentuan ekonomi masa hadapan.

220. Ketiga, Belanjawan 2020 mesti memberi perhatian kepada graduan dan pekerja yang berdaya saing dan mampu berhadapan dengan kebangkitan IR4.0. Mereka ini saya gelar sebagai Graduan atau Pekerja Kalis Robot.

221. Aspek ini sangat kritikal kerana, sekalipun kerajaan bercadang mewujudkan kira-kira 350 ribu peluang pekerjaan kepada anak muda dengan kos keseluruhan kira-kira RM6.5 bilion, kita sebenarnya tidak mempunyai persiapan strategik untuk memastikan pekerja atau anak muda kita menjadi golongan tenaga kerja yang kalis robot.

222. Jika kita tidak memberikan perhatian kepada perkara ini, dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang, mereka semua akan digantikan dengan teknologi dan automasi. Dan akhirnya kita akan kembali bercakap perihal pengangguran dan penghasilan peluang pekerjaan kepada anak muda.

223. Keempat, selain merujuk kepada jurang antara bandar dan luar bandar iaitu urban-rural gap, dengan izin, kerajaan sebenarnya perlu turut memberi perhatian yang serius kepada jurang intra-bandar iaitu perbezaan dan jurang yang besar dalam kalangan mereka yang tinggal di bandar.

224. Justeru, Pembangkang mencadangkan agar disemak semula definisi dan pengklasifikasian B40 yang kita gunakan sekarang. Definisi B40 yang baharu harus turut melihat faktor lain seperti lokaliti serta jumlah tanggungan dan bukannya kepada jumlah isi rumah secara kasar sahaja.

225. Kelima, dalam Teras Ke-3 Belanjawan 2020, Kerajaan mensasarkan Masyarakat Yang Bersatu, Inklusif dan Saksama.

226. Pembangkang akui akan kepentingan perkara tersebut. Akan tetapi, pembangkang percaya, kita juga mesti mengambil inisiatif untuk memastikan berlakunya penyuburan rasa kecintaan yang tulen kepada negara. Hanya dengan meramaikan anak bangsa yang benar-benar setia dan cintakan tanahair, negara ini akan maju dan menjadi bertambah baik.

227. Namun, pada tahun hadapan, saya lihat tidak wujud sebarang strategi berhubung perkara ini.

228. Malah, tiada peruntukan atau dana khas kepada PDRM atau mana-mana pihak berkuasa bagi mendidik atau memulihkan mana-mana pihak berisiko terutamanya ahli politik yang disyaki terlibat dengan sebarang pertubuhan pengganas dan ekstrem seperti LTTE. Sedangkan ideologi yang ekstrem dan bersimpati dengan pergerakan pengganas mesti diperangi sehabis-habisnya.

229. Maka, Pembangkang mencadangkan penubuhan Agensi Pemulihan Ahli Politik atau dalam bahasa Inggerisnya dengan izin, Deradicalization Agency for Politicians atau ringkasnya DAP. Ini hanyalah sekadar contoh.

230. Yang keenam dan terakhir, bagi mengelakkan berulangnya kegagalan pelaksanaan seperti yang berlaku dalam Belanjawan 2019, Pembangkang mencadangkan agar ditubuhkan satu Jawatankuasa Khas Pemantauan Pelaksanaan Belanjawan Negara.

231. Jawatankuasa khas ini kita letakkan di bawah Parlimen dan semua kementerian bertanggungjawab untuk membuat laporan berkala agar semua pihak dapat memantau bagaimana peruntukan belanjawan kita digunakan.

Kesimpulan.

Tan Sri Speaker,

232. Sebagai kesimpulan, Pembangkang ingin menegaskan kepincangan Belanjawan 2020 ini sebenarnya boleh diringkaskan kepada 5 perkara.

233. Pertama, ia hanyalah penerusan rangkaian inisiatif yang diusahakan oleh BN sebelum ini. Cuma, inisiatif-inisiatif BN tersebut sekadar ditambah jumlah peruntukkannya. Walau pun pada hakikatnya, banyak sekali peruntukan pada zaman BN dikurangkan tanpa penjelasan sekalipun keperluannya meningkat. Pendek kata, tiada idea baharu, tiada lonjakan atau game changer baharu.

234. Kedua, Belanjawan 2020 adalah belanjawan yang membuka lebih banyak ruang pemilikan hartanah oleh warga asing. Ini adalah kumpulan fokus yang salah sama sekali.

235. Ketiga, Belanjawan 2020 tidak menyediakan sebarang pelan penting untuk berhadapan dengan kegawatan ekonomi yang diramalkan berlaku tahun hadapan mahupun meletakkan asas kepada WKB2030.

236. Keempat, Belanjawan 2020 sekali lagi mengulangi kesilapan tahun ini dengan menyandarkan pendapatan negara kepada hasil minyak yang tinggi, sedangkan analisis profesional menunjukkan harga minyak mentah akan semakin menurun pada tahun hadapan. Belanjawan ini akan menjadi seperti Belanjawan 2019 yang gagal!

237. Kelima, Belanjawan 2020 adalah belanjawan pro pemodal, pro gergasi korporat dan pro golongan pelobi. Berdasarkan bentuk-bentuk dasar yang diubah, kita sudah boleh melihat, kelompok pelobi manakah yang paling berkuasa dan berpengaruh di negara kita.

238. Apa yang jelas, dalam pertembungan kepentingan antara rakyat marhaen dan golongan pelobi serta pemodal yang berwang, rakyat telah tewas!

239. Atas segala kelemahan dan kegagalan merancang belanjawan yang baik ini, saya cadangkan, baik kita bubarkan sahaja Parlimen.

240. Terima kasih.

Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Ketua Pembangkang
Ahli Parlimen P90 Bera, Pahang

Get notified whenever we post something new!

Continue reading

Geng Broker baru keluar gua

Menjilat luka diri sendiri selepas PN gagal membentuk kerajaan, geng broker mula mendiamkan diri selama lebih sebulan sejak berakhir PRU15. Kemudian pada hari Jumaat, Hishammuddin muncul membuka mulut. Dan semalam, Nazri Aziz dan Tajuddin Rahman turut serta membuka mulut selepas keluar...

MPN, Majlis paling tak berguna ditubuhkan untuk Abah Kau dibatalkan

Penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dibatalkan kerana timbul pertindihan fungsi dan jawatan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim. “Itu (MPN) juga satu pertindihan juga, jawatan yang diletakkan untuk memenuhi keperluan ketika itu,” katanya pada sidang akhbar di Perdana Putra. MPN ditubuhkan pada...

[VIDEO] Dakwaan seleweng RM600 bilion: ‘Muhyiddin, jangan cabar saya’ – PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak mencabar beliau mengenai isu dana kerajaan berjumlah RM600 bilion yang didakwa diseleweng. Perdana Menteri berkata, Kementerian Kewangan sudahpun dimaklumkan mengenai beberapa pelanggaran melibatkan isu dana...