UMNO bersedia untuk membincangkan cadangan rakan kerjasamanya, Pas untuk membawa isu usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, UMNO mengalu-alukan niat murni Pas malah tambahnya cadangan itu akan dikaji dalam mesyuarat Muafakat Nasional, malam esok.
“Jika Pas nak bawa bincang isu usul undi percaya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional malam esok, kita alu alukannya.
“Kita akan kaji baik buruknya serta implikasi undang undang berkaitan dgn nya..Tapi agenda utama mlm esok adalah roadmap seterusnya untuk Muafakat Nasional, dan agenda membela rakyat,” katanya di Twitter beliau hari ini.
Komen itu merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu akan membawa usul undi percaya kepada Dr Mahathir pada sesi Parlimen akan datang.
Bagaimanapun, usul tersebut tidak pernah dibawa ke perbincangan antara kedua-dua parti sebelum ini.
“Ini idea dan pandangan daripada Pas, tidak pernah beritahu UMNO tapi idea itu pernah kita bincang. Setiausaha Agung pernah keluarkan kenyataan bulan lepas dan bagi idea kalau sekiranya kerajaan sedia ada betul nak tukar PM kena bawa usul.
“Kalau tidak bawa usul untuk menolak PM yang ada, jadi isu ini akan terus dimainkan,” kata Tuan Ibrahim dalam satu acara di Bandar Tun Hussein Onn, semalam.
Annuar sebelum ini berkata, Pas ada hak untuk membawa ‘usul undi percaya’ kepada Dr Mahathir di Dewan Rakyat tetapi berkata UMNO tidak perlu masuk campur dalam masalah Pakatan Harapan (PH).