TEKS PERBAHASAN
YB DATO’ DR. NORAINI AHMAD
AHLI PARLIMEN PARIT SULONG
MERANGKAP KETUA WANITA UMNO MALAYSIA
RUU PERBEKALAN 2020 (BELANJAWAN 2020)
22 OKTOBER 2019
PENGENALAN – JURANG PENDAPATAN MAKIN MELEBAR
1. Saya ingin memulakan perbahasan ini dengan menzahirkan rasa kecewa saya di atas Belanjawan 2020 yang jelas telah gagal untuk melakukan ‘structural reform’, dengan izin seperti mana yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan sebelum PRU.
2. Philips Alston dia ini adalah Pelapor Khas Kemiskinan Dan Hak Asasi Manusia PBB, membuat pendedahan pada 23 Ogos 2019. Apa yang dikatakan, dia katakan bahawa jurang kemiskinan sekarang ini semakin melebar. Laporan ini mengungkapkan bahawa kadar kemiskinan yang sebenar itu menurut laporan tersebut adalah kira-kira 15 peratus dan dakwaan 0.4 peratus adalah tidak realistik. Ini memang sangat mengejutkan.
3. Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah diperkenalkan oleh Tun Razak dalam Rancangan Malaysia Kedua. Tujuannya apa? Tujuannya adalah untuk mencapai perpaduan negara dan yang paling pentingnya adalah untuk membasmi kemiskinan.
4. Seminggu sebelum bajet dibentangkan, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) telah dihidangkan kepada rakyat. Saya lihat objektifnya adalah untuk menstrukturkan ekonomi, menangani ketidaksamaan dan membina negara.
5. Namun, saya tidak nampak WKB 2030 yang mempunyai matlamat pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif didukung dengan satu pelan tindakan yang komprehensif oleh Kementerian Kewangan. Saya percaya wawasan hanya akan menjadi wawasan kalau tidak didukung dengan satu pendanaan yang mencukupi.
6. Jadinya persoalannya sekarang apakah benar dakwaan mengenai jurang kemiskinan yang semakin melebar seperti yang didakwa oleh pihak PBB ini? Apakah langkah-langkah daripada pihak kerajaan dalam menghadapi masalah jurang kemiskinan yang semakin melebar ini sekiranya benar? Sekiranya dakwaan ini benar juga, ianya juga akan akhirnya mewujudkan satu gelombang pergolakan sosial ataupun social unrest di kalangan masyarakat di Malaysia.
7. Pada pandangan saya dalam kita endak mengurangkan jurang kemiskinan ini, saya ingin bertanya kepada pihak kerajaan mengenai apakah jenis inisiatif di dalam Belanjawan 2020 ini yang dapat membentuk kepada tiga persoalan utama yang perlu dijawab iaitu:
a. Job creation atau mencipta peluang pekerjaan
b. Wealth creation melalui keusahawanan
c. Mewujudkan new market pasaran dan perniagaan baru
PEMERKASAAN AGENDA WANITA
8. Saya hendak merujuk kepada satu perangkaan demografi bagi suku tahun pertama 2019, Malaysia ini 15.80 juta penduduknya adalah wanita. Bermaksud hampir setengah daripada population adalah wanita.
9. “The power of parity: How advancing women’s equality can add $12 trillion to global growth” yang diterbitkan oleh McKinsey Global Institute menunjukkan bahawa $12 trilion boleh disumbangkan kepada KDNK global menjelang tahun 2025 sekiranya agenda pemerkasaan wanita dilakukan dengan holistik dan berkesan.
10. Laporan Bank Dunia pula, baru-baru ini turut mengatakan bahawa pendapatan per kapita Malaysia boleh meningkat sebanyak 26.2 peratus dengan pendapatan tahunan purata sebanyak $2,250 jika semua halangan ekonomi untuk wanita ini dihapuskan di negara ini.
11. Betul memang di dalam bajet ada menyatakan satu sasaran untuk mewujudkan 33,000 peluang pekerjaan melalui #WanitaKerja. Akan tetapi perinciannya saya tidak nampak secara jelas. Itu yang saya kesalkan.
12. Ini kerana menurut laporan The State of Households 2018 yang dikeluarkan oleh KRI bahawa jumlah wanita yang menganggur bagi tahun 2017 sahaja adalah 58 peratus kalau kita bandingkan sebanyak 3.2 peratus golongan lelaki dan yang paling menyedihkan lagi kebanyakan wanita itu adalah mereka yang berpendidikan tinggi dan berada di dalam lingkungan umur kerja (working age), dengan izin di antara 25 tahun dan 54 tahun.
13. Jadinya bila kerajaan mengumumkan akan memberikan insentif sebanyak RM500 untuk wanita yang bekerja. Saya hendak bertanya kepada pihak kerajaan cara pemberian insentif ini, adakah ianya akan dimasukkan terus sebagai caruman KWSP atau akan diwujudkan satu tabung khas atau bagaimana?
14. Jadi kerajaan kena menjelaskan mengenai perkara ini supaya apa, supaya rakyat tidak keliru sebab wanita yang mungkin mendapat kerja melalui insentif ini akan merasakan bahawa RM500 itu mereka akan dapat on the spot, dengan izin. Oleh sebab itulah kena ada satu mekanisme ataupun satu cara agihan yang perlu dijelaskan kepada rakyat dan perlu diperincikan.
15. Jadinya kerisauan saya pula adalah jumlah pekerjaan yang bakal diwujudkan ini, adakah ianya akan memberi ruang yang cukup kepada wanita yang berkelayakan.
16. Apabila kita bercakap mengenai penambahan pekerjaan pula, saya ingin bertanya kepada pihak kerajaan adakah satu jawatankuasa telah dibentuk antara agensi termasuklah daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dalam kita hendak menentukan demand and supply, bagi membolehkan kita mempunyai satu angka yang terperinci. Jadinya susulan daripada itu, saya ingin bertanya juga kepada pihak kementerian mengenai sama ada Kementerian Sumber Manusia mempunyai jumlah pekerjaan yang boleh diberikan ataupun dinyatakan, berapakah jumlah pekerjaan yang boleh dikeluarkan ataupun diberikan kepada mereka yang menganggur.
17. Kalau kita lihat di UK, terdapat satu skim yang bernama ‘returners scheme’, tujuannya apa? Tujuannya adalah untuk membantu profesional wanita untuk kembali bekerja untuk mendapatkan jawatan yang sama seperti yang pernah mereka jawat sebelum ini. Jadinya saya hendak bertanya juga kepada pihak kerajaan, sama ada wanita profesional yang kembali bekerja nanti di bawah inisiatif ini akan mendapat peluang yang sama ataupun mereka akan mendapat peluang yang lebih baik dan sesuai dengan kelayakan dan pengalaman mereka.
PEMBANGUNAN EKONOMI DIGITAL NEGARA
18. Saya ingin bertukar kepada satu subjek iaitu mengenai digital economy. Digital economy ini adalah satu bidang yang semasa saya membuat PhD saya, itu adalah tajuk tesis saya. Jadinya kita boleh melihat digital economy ini adalah sebagai satu sumber baru untuk merancakkan ekonomi negara. Banyak data-data boleh menyokong mengenai perkara ini.
19. Apabila ianya secara tidak langsung boleh dilihat sebagai sumber ekonomi baru, ianya juga boleh merancakkan ekonomi negara. Itu tidak termasuk sejumlah ataupun seramai 276,000 orang usahawan digital yang telah dilahirkan oleh kerajaan terdahulu termasuk pelbagai program dengan Digital Free Trade Zone yang diusahakan bersama usahawan terkenal Jack Ma dan pelbagai juga yang dilakukan.
20. Sehubungan itu, saya juga melihat seolah-olahnya fokus di dalam bajet ini lebih menjurus kepada syarikat-syarikat besar dan kurang diberi perhatian terhadap usahawan-usahawan setaraf termasuk usahawan digital ini. Jadinya dalam waktu yang sama, saya juga tertarik dengan inisiatif kerajaan untuk meneruskan dan juga menyokong serta menggalakkan satu inovasi kewangan digital baru melalui Equity Crowdfunding ataupun ECF dan juga P2P yang memperuntukkan tambahan RM50 juta.
21. Jadi, saya hendak memaklumkan juga, hendak bertanya dengan pihak kerajaan. ECF ini adalah satu alternative financing untuk membantu terutamanya setaraf company usahawan-usahawan muda untuk menjana pendapatan melalui perniagaan online dan pelbagai lagi.
22. Saya hendak beri contoh ada sebuah syarikat yang dinamakan Skolafund. Skolafund ini digunakan untuk dibuat di raise fund through public untuk membantu rakan-rakan mereka yang lain di dalam universiti. Akan tetapi baru-baru ini ia telah mendapat kelulusan dan telah exit daripada skim ECF itu dan memulangkan dividen kembali kepada mereka yang telah membuat investment.
23. Jadi, saya cuma hendak bertanya kepada pihak kerajaan, adakah sekarang ini ada 10 buah syarikat yang telah mendapat license untuk menjadi pengendali ECF ini tetapi ada yang aktif, ada yang tidak aktif. Jadinya saya hendak bertanya kepada pihak kerajaan ada atau tidak insentif yang diberikan kepada syarikat-syarikat yang aktif. Maksudnya mungkin dari segi insentif, dari segi tax dan sebagainya, adakah kerajaan mempunyai satu cara dan menjadikan ia sebagai rangsangan.
24. Selepas itu saya lihat di Malaysia ini awareness sangat kurang sebab ramai yang tidak tahu apa ECF itu kecuali mereka yang terlibat dengan platform ECF dan mereka yang berkepentingan. Jadi, bagaimanakah cara dan apakah yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk mengatasi masalah-masalah ini.
ISU KAWASAN PARLIMEN PARIT SULONG
Isu Bencana Alam – Banjir & Ribut
25. Ada beberapa perkara yang saya hendak bawa terutamanya mengenai kawasan. Sekarang ini memang tengah banjir, tengah ribut. Jadi, saya hendak minta juga kementerian juga membantulah juga, janganlah duduk diam sahaja.
26. Saya selaku wakil rakyat apabila membuat panggilan orang buat tidak tahu sahaja. Semua pergi Tanjong Piai. Kawasan Parlimen Parit Sulong tengah banjir sekarang ini, tengah ribut.
Isu Sawit
27. Selain daripada itu, saya juga hendak tanya. Ini mengenai isu sawit. Kawasan saya adalah sebahagian besarnya adalah kawasan sawit. Isu sawit ini ia telah menjadi satu polemik global semenjak negara India memboikot mengimport sawit daripada Malaysia ekoran daripada kenyataan yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini.
28. Jadi saya cuma hendak bertanya kepada pihak kementerian, apakah sebenarnya pendirian kerajaan dalam hal ini, adakah ada apa-apa dasar baru atau langkah proaktif serta inovatif yang diambil untuk berhadapan dengan kejatuhan harga komoditi ini.
29. Adakah terdapat apa-apa pasaran baru dan yang paling penting saya hendak bertanya kepada kementerian, adakah kementerian merasakan yang kenyataan YAB Perdana Menteri itu menggugat industri sawit di negara Malaysia ini? Oleh sebab kita perlu tahu. Kalau tidak di kawasan harga bukan makin naik tetapi makin turun dengan penambahan stockpile dan segalanya. Saya merasakan ia perlu diambil, masalah ini perlu diambil secara serius terutamanya oleh pihak kementerian.
Isu Tapak Pengumpulan Sampah di Bukit Payung
30. Yang terakhir ialah, di Daerah Batu Pahat ini ia ada empat Parlimen. Ia ada satu isu yang dahulu masa kerajaan sekarang adalah pembangkang dia memang fight untuk buat demo dan buat segalanya. Ini berkenaan Pusat Pengumpulan Sampah Bukit Payung, bukan kawasan saya. Kawasan Seri Gading tetapi sebelah dengan saya. Apabila ia sebelah dengan saya, termasuklah kita berada sekali di situ.
31. Dahulu kata hendak hentikan projek ini. Mereka buat demo semua hendak hentikan. Tapi ini diteruskan balik. Jadi, sebenarnya saya hendak tanya, apa pendirian kerajaan mengenai Pusat Pengumpulan Sampah Bukit Payung ini? Oleh sebabnya saya sudah bawa, sudah lama saya bangkitkan perkara ini, masih lagi tidak selesai. Jadinya saya hendak supaya jawapan itu diberikan kepada kita pada hari ini.
PENUTUP
32. Sebagai penutup, saya juga ingin kerajaan menyatakan pendirian secara menyeluruh kepada persoalan saya bagaimana belanjawan ini boleh membentuk well creation, job creation dan juga new business market. Ini kerana jika negara masih berada dalam kemiskinan yang semakin melebar serta ekonomi yang tidak menentu, ia akan memberi mudarat kepada Malaysia.
33. Disebabkan itu jugalah saya ingin mengajak rakyat terutamanya di Tanjong Piai terjemahkan undi mereka kepada Barisan Nasional di PRK nanti.