Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan menggembleng semula petugas barisan hadapan daripada agensi penguatkuasaan ke tempat awam bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mengekang penularan Covid-19 dalam negara.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika ada yang melanggar undang-undang ditetapkan kerajaan dalam memerangi pandemik ini, hukuman kompaun dan lain-lain akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat.
“Maaflah jika Abah ini mula menggunakan rotan! Marilah kita hadapi perang menentang Covid-19 secara bersama.
“Ingat, kita pernah berjaya melandaikan lengkung jangkitan Covid-19 sebelum ini. Saya yakin dan percaya kita akan dapat bersama-sama melandaikannya sekali lagi.
“Insya-Allah, kita doakan mudah-mudahan kita semua akan menang akhirnya,” katanya ketika Perutusan Khas Situasi Semasa Covid-19 yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial, hari ini.