KUALA LUMPUR: Jawapan bersahaja Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi berhubung cadangan kerajaan Johor memperkenalkan cukai katil, mencuit hati Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengakui hairan dengan cadangan itu, Mohammadin turut berseloroh kononnya pelancong yang tidak mampu membayar cukai terbabit, mungkin terpaksa tidur di bawah jambatan.
“Isu cukai katil, sebenarnya tidak pernah dibawa ke peringkat kementerian. Saya agak hairan kerana katil pula ada cukai.
“Kenapa pula pelancong kena bayar RM10 untuk cukai katil lagi. Jika orang tak boleh bayar (cukai) katil, orang terpaksa tidur bawah jambatan Yang Berhormat,” katanya bersahaja disambut gelak dan tawa Ahli Parlimen lain.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) sama ada kerajaan Johor ada merujuk dengan kementerian berhubung cadangan memperkenalkan cukai katil.
Jawapan Mohammadin itu turut dipuji Jalaluddin yang menyifatkannya sebagai seorang menteri yang hebat.
“Saya sokong, menteri ini hebat,” katanya.
Mohammadin bagaimanapun menegaskan akan memanggil EXCO Pelancongan Johor bagi menyiasat dan mendengar sendiri cadangan kerajaan negeri berkenaan.
Media semalam melaporkan kerajaan Johor sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan cukai katil kepada pelancong yang menginap di hotel di negeri berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung, berkata pihaknya kini sedang memperhalusi mekanisme pelaksanaan dan kadar cukai yang akan dikenakan.