Tiada lagi kelibat pemain import Pahang, Dickson Nwakaeme selepas penyerang yang terkenal dengan julukan ‘Orang Besi’ itu sah meninggalkan skuad Tok Gajah bagi musim depan.
Perkembangan itu diumumkan penyerang berusia 34 tahun itu menerusi InstaStory dengan dia turut mengambil tanggungjawab di atas kekalahan 3-2 Pahang di tangan Kedah yang menyaksikan mereka gagal melayakkan diri ke suku akhir.
Pada aksi di Stadium Darul Aman itu, penyerang kelahiran Nigeria berkenaan berpeluang merapatkan jurang menjadi 3-2 pada minit ke-79, namun gagal menyudahkan sepakan penalti yang dihadiahkan sebelum jaringan Faizal Rani pada minit ke-88 tidak memberi apa apa makna.
“Saya mengambil tanggungjawab atas kekalahan di tangan Kedah. Apa yang anda mahu katakan kepada pemain, anda katakan kepada saya.
“Ketika semuanya bagus, anda bersorak nama saya dan saya menikmatinya. Ketika ini, saya gembira untuk menerima kritikan. Saya tahu pemain sudah beri yang terbaik cuma kita tidak bertuah berdepan pasukan yang begitu baik.
“Saya sentiasa memberikan yang terbaik setiap kali menyarung jersi Pahang tetapi kadang kala, memberikan yang terbaik tidak mencukupi.
“Apa yang lebih menyedihkan adalah ini perlawanan terakhir saya sebagai pemain Pahang. Saya tidak mahu ia berakhir begini,” katanya.
Dalam masa sama, Dickson turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan kepadanya sepanjang dia menjadi pemain pasukan terbabit.
“Terima kasih kepada bos besar saya, Tengku Muda Pahang (Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah) dan juga kerabat diraja Pahang. Saya harap semua keluarga diraja dapat merendah diri dan penyayang seperti kerabat diraja Pahang.
“Juga kepada pengurusan, barisan kejurulatihan, pemain dan juga penyokong untuk semua kasih sayang yang diberikan sepanjang saya berada di Pahang. Tuhan merahmati kalian semua,” katanya.
Sebagai rekod, Dickson mula menyertai Pahang bermula musim 2013 sebelum menyertai kelab Perancis, Angers SCO pada 2016 namun dia kembali menyertai Pahang pada musim lalu.