IPOH 4 Nov. – Penyokong tegar bola sepak Perak hari ini mendesak Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnian Abdul Munaim melepaskan jawatan tersebut selepas beberapa tindakannya yang disifatkan tidak menghormati Piala Malaysia yang dimenangi pasukan Perak baru-baru ini.
Antara tindakan Hasnul Zulkarnain itu termasuklah membawa piala tersebut ke mana beliau pergi selain bergambar di tepi kolam renang.
Sehubungan itu, sebahagian penyokong yang tidak berpuas hati dengan tindakan Presiden Pafa itu bertindak mengumpul tanda tangan sebagai tanda sokongan bagi memulakan petisyen mendesak pengunduran Hasnul Zulkarnain bermula semalam.
Salah seorang penyokong setia, Mohd. Jefferey Amin Abd. Hamid berkata, kempen mengumpul tanda tangan yang telah bermula sejak semalam itu berjaya mengumpulkan lebih 2,000 tanda tangan sehingga pukul 11 pagi ini.
Kata Mohd. Jefferey Amin yang telah menyokong bola sepak Perak sejak 80-an, , rata-rata para penyokong amat kecewa dengan sikap yang ditunjukkan Hasnul Zulkarnain yang disifatkan tidak menghormati piala paling berprestij di negara ini itu.
“Perbuatan Presiden Pafa membawa piala yang dimenangi para pemain dengan bersusah payah ke mana sahaja dia pergi menunjukkan dia sangat tidak menghormati piala itu sendiri.
“Malah amat memalukan apabila beliau turut bertindak bergambar dengan piala di tepi kolam dan selain berarak tanpa pemain. Jelas tindakan ini tidak patut dibuat oleh seorang yang bergelar presiden persatuan bola sepak,” katanya. -UTUSAN ONLINE