Oleh: SUBKHI SUDARJI
PENGENDALI Indonesia, Shin Tae-yong enggan memikirkan tanggapan pasukannya memiliki kelebihan berbanding Malaysia apabila kedua-duanya bakal bertembung pada aksi terakhir peringkat Kumpulan B, Piala AFF 2020 di Stadium Nasional, Singapura malam esok (Ahad).
Hanya perlu seri untuk mengulangi pencapaian kali terakhir Sang Garuda pada 2016 berbanding Malaysia yang perlu menang, Tae-yong tetap mahukan pemain fokus dengan mentaliti yang kuat.
“Ada yang mungkin mengatakan kami mempunyai kelebihan tetapi keputusan perlawanan boleh berubah pada bila-bila masa jadi kami mesti fokus dan menempuhi perlawanan dengan mentaliti yang kuat.

“Anda lihat dalam perlawanan menentang Vietnam bahawa kami menentang pasukan terbaik dalam kejohanan itu jadi kami terpaksa bermain dengan cara tertentu.
“Namun berdepan Malaysia mereka mempunyai kekuatan dan kelemahan yang berbeza dan kami akan bermain dengan cara terbaik untuk mengeksploitasi kelemahan itu,” ujarnya pada sidang media pra perlawanan secara maya pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, Tae-yong turut memaklumkan Elkan Baggott akan diturunkan beraksi pada perlawanan malam esok.
“Begitu juga dengan Evan Dimas yang tidak mengalami kecederaan namun Egy Maulana tidak dapat beraksi,” tambahnya.