SHAH ALAM – Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan menggesa agar pihak yang membantah penjualan bangunan ibu pejabat parti itu di negeri ini supaya mendapatkan maklumat sebenar mengenai tindakan tersebut.
Menurut beliau, pihak terlibat sewajarnya mendapatkan maklumat lanjut mengenai kedudukan kewangan parti itu daripada pengurusan UMNO negeri dan bukannya membuat kenyataan terbuka sehingga menimbulkan huru-hara dikalangan ahli.
Beliau berkata, UMNO Selangor pada masa kini memerlukan pandangan serta cadangan semua pihak bagi memperkukuhkan parti dan bukannya bertelagah antara satu sama lain.
“Benda (penjualan bangunan UMNO Selangor) ini dibuat oleh jawatankuasa dan telah melalui proses-prosesnya.
“Jawatankuasa Kewangan UMNO Selangor yang terdiri daripada tiga wakil pengurusan, dua wakil ketua bahagian dan semua ketua-ketua sayap telah membincangkan mengenai masalah kewangan parti dan apa langkah-langkah yang boleh dibuat.
“Selepas itu, jawatankuasa ini akan keluar dengan cadangan dan maklumat terperinci untuk dibentangkan kepada badan perhubungan negeri sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Mat Nadzari berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita mengenai tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kasim yang membuat permohonan kaveat terhadap bangunan UMNO Selangor.
Mohd Isa mengambil langkah tersebut susulan daripada keputusan Mesyuarat Perhubungan UMNO Selangor sebelum ini yang membuat undian untuk bersetuju menjual bangunan berkenaan.
Mengulas lanjut, Mat Nadzari berkata, pengurusan UMNO Selangor juga turut menerima laporan forensik mengenai kedudukan kewangan parti itu yang kini berada dalam keadaan mendukacitakan.
Oleh sebab demikian, beliau berkata, jawatankuasa kewangan parti mengesyorkan beberapa inisiatif untuk mengatasi permasalahan ini.
“Selepas jawatankuasa kewangan parti mendapat sokongan majoriti atas cadangan pembelian bangunan baru dan penjualan bangunan lama secara serentak, maka ia harus dibentangkan kepada ahli jawatankuasa perhubungan negeri untuk mendapat pandangan serta persetujuan selanjutnya.
“Jadi sehingga kini, adalah sangat ‘premature’ untuk komen lebih lanjut mengenai transaksi ini,” katanya.
Disember tahun lalu, Mat Nadzari pernah memaklumkan bahawa cadangan bagi penjualan bangunan itu telah dibincangkan di dalam mesyuarat khas melibatkan ketua-ketua bahagian UMNO di negeri ini.
Beliau berkata, Jawatankuasa Kewangan UMNO Selangor turut mengesyorkan beberapa cadangan termasuk ‘cair dan beli harta’ (contra deal) terbabit kepada pengurusan UMNO negeri berikutan kekangan kewangan ekoran pembekuan akaun oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.