Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz diumumkan sebagai setiausaha agung Barisan Nasional (BN) yang baru.
Perkara itu diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di Perhimpunan Agung MIC di Kuala Lumpur, Sabtu.
Jelas Ahmad Zahid, Nazri ditugaskan untuk berjumpa pihak yang berpotensi menyertai BN.
“Kami serahkan mandat kepada Nazri yang dikenali sebagai ‘chief’ (ketua). Tugas beliau adalah berjumpa sesiapa sahaja agar memperkuatkan lagi gagasan pembangkang ini.
“Saya akan menghubungi setiap anggota BN secara peribadi untuk mendapatkan pendapat mereka. Saya bukan jenis bekerja sendiri. Kita akan bekerja sebagai kumpulan,” kata Ahmad Zahid.
Memetik laporan sebuah portal berita, Nazri memberitahu bahawa beliau dimaklumkan mengenai perkara itu tiga bulan lalu.
“Kita tidak pernah umumkan, tapi sekarang ada majlis, kita umumkan lah.
“Saya kini diplomat,” katanya.
Nazri juga berkata bahawa hala tuju BN adalah untuk menubuhkan kerajaan sama ada pada pilihan raya umum akan datang atau sebelum itu.
Nazri mengambil alih jawatan itu dari Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memegang jawatannya sejak 2009.