KANAK-KANAK dan permainan tidak dapat dipisahkan, malah ia antara elemen utama dalam mempengaruhi perkembangan mental dan fizikal mereka.
Namun, jenis permainan perlu berkualiti dan menepati jantina seperti budak perempuan bermain anak patung, manakala budak lelaki mainan lasak umpamanya bola sepak.
Hal itu perlu diperhatikan supaya tidak berlaku kecelaruan gender dan identiti ketika kanak-kanak melalui proses tumbesaran.
Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fariza Md Sham, berkata Rasulullah SAW mengizinkan Saidatina Aishah RA, bermain dengan anak patung bersama rakan-rakannya.
Beliau berkata, ini berikutan Rasulullah SAW mengetahui fitrah wanita suka kepada anak patung.
“Patung permainan bukan sembahan, sebaliknya menjadi bahan permainan kanak-kanak perempuan sahaja.
Aishah meriwayatkan dalam hadis: Aku bermain anak patung di sisi Rasululah SAW bersama-sama beberapa teman. Apabila Rasulullah SAW masuk ke ruang itu, kami berselindung daripadanya, lalu mereka berkumpul mendekatiku dan mereka pun bermain-main denganku. (HR Bukhari)
Fariza berkata, Rasulullah SAW sendiri ketika melalui zaman kanak-kanak, turut bermain-main bersama rakan sebaya.
“Baginda membesar seperti anak kecil dan remaja lain, tetapi tetap ada perbezaan, iaitu Baginda tidak melakukan perbuatan bertentangan dengan moral manusia seperti berjudi dan berfoya-foya,” katanya.
Fariza menjelaskan keperluan bermain dalam kalangan kanak-kanak perlu diambil kira kerana ia fitrah kejadian manusia.
Ketika proses pembelajaran dan perkembangan psikologi baik, kanak-kanak akan berasa gembira yang menjadi kepuasan ketika bermain.
“Ia membantu dalam pembangunan kreativiti kanak-kanak hingga Islam menggalakkan kanak-kanak diberikan kebebasan bermain kerana keperluan asas kanak-kanak perlu diberikan ibu bapa dan guru,” katanya.
Bagaimanapun, Fariza mengingatkan ibu bapa atau guru supaya memberikan tunjuk ajar permainan yang baik atau tidak bertentangan syariat Islam.
Antara larangan ialah permainan berbentuk syirik kepada Allah SWT, mengandungi unsur penipuan, judi atau mendorong perlakuan akhlak buruk.
Fariza menjelaskan permainan dibenarkan dalam Islam adalah yang memupuk kesan positif terhadap pembentukan psikologi, akhlak dan sahsiah.
“Rasulullah SAW menegaskan pemberian amat berharga daripada bapa kepada anaknya ialah pendidikan budi bahasa dan akhlak mulia.
Rasulullah bersabda: Tidak ada pemberian lebih baik daripada seorang bapa kepada anaknya melainkan pendidikan adab baik. (HR Tirmizi)
Justeru dalam memilih permainan untuk anak, Fariza menasihatkan supaya kita memilih seperti disarankan Islam, iaitu sesuatu yang boleh membentuk akhlak dan budi kanak-kanak.
“Pendidikan akhlak dan adab baik boleh diperoleh ketika bermain dengan rakan sebaya.
“Tertib permainan berupaya melatih kanak-kanak saling menghormati, bertolak-ansur, bekerjasama dan berdaya saing,” katanya.
Fariza mencadangkan antara permainan boleh dijadikan pilihan anak ialah berbentuk sukaneka dan dalaman.
Antara jenis permainan digalakkan dalam Islam adalah yang membantu membentuk fizikal dan jasmani sihat seperti bola sepak, badminton, berlari, berkuda, memanah serta berenang.
Begitu juga permainan yang boleh membentuk perkembangan mental, kecerdasan dan kreativiti kanak-kanak seperti catur, merekacipta melalui permainan seperti lego, robotik serta melukis.
Ia turut merangkumi permainan yang boleh memberi pengetahuan tradisi, adat dan budaya seperti seperti congkak, guli dan gasing.
“Permainan seperti ini dapat membentuk pengetahuan berhubung adat budaya dan membentuk pergaulan antara rakan sebaya dan ahli keluarga,” katanya
Sumber
Berita Harian
16 November 2019