Sunday, April 2, 2023

Creating liberating content

[Video] Polis lepaskan tembakan...

Kejadian di persimpangan Jalan Semarak menghala Jalan Tun Razak arah selatan. Sebuah kenderaan...

[Video] Kapten hoki India...

Kapten hoki India, Manpreet Singh Pawar melangsungkan majlis perkahwinan dengan kekasihnya dari Malaysia,...

Syarikat taikun ambil alih...

Yang ini ttak boleh diterima. Subang merupakan airport dalam bandar yang amat diperlukan...

[Video] Budak sekolah kantoi...

Kes kantoi buat hubungan intim dalam bilik air sekolah time bulan ramadan kejadian...

Malaysia Rancang Tingkatkan Eksport Minyak Sawit Selepas Indonesia Umum Henti Export Produk

Malaysia merancang untuk mempertingkatkan eksport minyak sawitnya sebanyak 30 peratus tahun ini bagi memenuhi permintaan di seluruh dunia yang semakin meningkat selepas Indonesia membuat keputusan untuk tidak lagi menghantar produk berkenaan keluar negara, menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada Selasa.

Menteri tersebut Zuraida Kamaruddin berkata Malaysia kini sedang membawa masuk lebih ramai pekerja asing untuk sektor perladangan bagi memenuhi permintaan itu, tambahan kepada sejumlah 30,000 yang sudah diambil bekerja pada Februari lalu.

“Peladang kelapa sawit di industri hulu (upstream) dan pengeluar minyak sawit di hilir (downstream) perlu bekerja bersama bagi mendapat faedah daripada kelompongan yang ditinggalkan oleh Indonesia susulan keputusan negara itu untuk menghentikan eksport minyak sawit,” kata Zuraida.

Pada September lepas, kerajaan Malaysia telah meluluskan satu rancangan untuk mengambil 32,000 pekerja asing khusus untuk bekerja di ladang-ladang kelapa sawit – satu tindakan yang telah melihat kemasukan beramai-ramai pekerja pada pertengahan Februari. Satu lagi siri kemasukan pekerja asing dijangka akan berlaku pada bulan Jun bagi memenuhi keperluan tenaga kerja untuk memetik buah kelapa sawit dan mengeluarkan minyak sawit.

“Dalam jangka panjang, kementerian mengunjurkan bahawa pengeluaran minyak sawit dan eksport akan meningkat sebanyak 30 peratus pada akhir 2022, dengan mengambil kira keputusan Malaysia membuka semula sempadan antarabangsa,” kata Zuraida dalam satu kenyataan.

Pengumuman menteri Malaysia itu dibuat selepas kerajaan Indonesia mengumumkan bahawa negara itu akan menghentikan eksport minyak sawit bermula 28 April bagi mengawal harga serta menyelesaikan isu kekurangan minyak sawit untuk kegunaan tempatan mereka.

“Ini adalah masa terbaik untuk pemain industri minyak sawit Malaysia untuk mempertingkatkan kebolehan inovasi mereka serta meneroka strategi terbaik untuk memenuhi permintaan melambung minyak sawit oleh negara-negara pengimport produk tersebut,” kata Zuraida.

Malaysia adalah negara pengeluar minyak sawit yang kedua terbesar di dunia selepas Indonesia. Pada 2021, Malaysia mengeksport sejumlah 17.2 juta tan produk itu, dan ia dijangka akan meningkat kepada lebih 22 juta tan pada hujung tahun ini.

Cadang beri insentif potongan cukai

Zuraida berkata kementeriannya juga telah mencadangkan supaya cukai eksport minyak sawit diberikan potongan buat sementara waktu daripada 8 peratus kini kepada antara 4 dan 6 peratus, menurut laporan agensi berita Reuters.

“Ketika waktu krisis sebegini, kita mungkin boleh memberikan sedikit kelonggaran supaya lebih banyak minyak sawit boleh dieksport,” kata Zuraida kepada agensi berita itu, dan menambah bahawa permintaan tersebut dibuat oleh negara yang mengimport minyak sawit.

Walaubagaimanapun, di sebalik unjuran tinggi dibuat oleh kementerian, pemain industri tempatan menyuarakan kegusaran mereka mengenai isu tenaga kerja.

“Secara realitinya kami memang boleh meningkatkan pengeluaran, akan tetapi ia tidak akan mencukupi untuk menampung permintaan dunia disebabkan saiz pasaran yang besar yang ditinggalkan oleh Indonesia,” kata Mohd Nageeb Abdul Wahab, ketua pegawai eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia.

Kata beliau, larangan eksport Indonesia itu telah menambah lagi keperluan untuk negara menyelesaikan masalah kekurangan tenaga buruh.

“Sekiranya kerajaan tidak mempercepatkan proses untuk membawa masuk pekerja asing secepat mungkin, Malaysia mungkin tidak akan mampu untuk mengisi kelompongan dalam pasaran minyak sawit dunia,” kata beliau kepada BenarNews.

Gantikan beras dan jet pejuang dengan minyak sawit?

Menurut Zuraida, tindakan Indonesia juga telah menyebabkan kekosongan besar dalam pasaran India.

“India adalah pelanggan terbesar minyak sawit dari Indonesia – ia mengimport sekitar 13 juta ke 13.5 juta tan metrik minyak makanan – dengan minyak sawit adalah sebahagian besar darinya antara 8 juta ke 8.5 juta tan metrik,” kata menteri. “Hampir 45 peratus daripada kuantiti tersebut diambil dari Indonesia manakala selebihnya dari Malaysia.”

B.N. Reddy, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, berkata negaranya kini sedang berbincang dengan kerajaan Malaysia untuk meningkatkan jumlah import tahunan mereka sebanyak 2 juta tan.

Beliau memberitahu media tempatan bahawa India telah memberikan cadangan untuk membayar kuantiti minyak sawit tambahan itu dengan komoditi lain seperti beras dan gula, serta teknologi ketenteraan, pembuatan dan perkhidmatan.

Syarikat Hindustan Aeronautics Ltd. milik India telah cuba untuk menjual sejumlah 18 pesawat pejuang Tejas mereka yang dianggarkan bernilai RM4 bilion (AS$912 juta) kepada Tentera Udara Diraja Malaysia, yang telah mengumumkan rancangan mereka pada pertengahan 2021 untuk mendapatkan pesawat tempur ringan dan pesawat latihan.

Seorang jurucakap Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata satu jawatankuasa kerja telah ditubuhkan bagi mempertimbangkan cadangan India.

“Tiada keputusan lagi,” kata jurucakap itu.

Sementara itu, penganalisis Mohd Nazari Ismail dari Jabatan Strategi Perniagaan dan Polisi Universiti Malaya berkata cadangan dibuat India untuk menukar komoditi Malaysia dengan peralatan ketenteraan itu adalah sesuatu yang dijangkakan.

“Ini sesuatu yang normal. Kita juga pernah mendapatkan peralatan ketenteraan dari Rusia sebagai pertukaran dengan minyak sawit. Negara yang mahu menjaga rizab tukaran matawang mereka biasanya akan meminta pertukaran barangan,” kata beliau kepada BenarNews.

“Saya rasa Malaysia patut menerima tawaran itu, bergantung kepada kualiti peralatan ketenteraan yang ditawarkan, tetapi itu adalah sesuatu yang patut diputuskan oleh pakar tentera kita.”

Sementara India merupakan pelanggan terbesarnya, Malaysia juga turut menerima permintaan daripada Eropah dan China susulan pengumuman Indonesia.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Get notified whenever we post something new!

Continue reading

Geng Broker baru keluar gua

Menjilat luka diri sendiri selepas PN gagal membentuk kerajaan, geng broker mula mendiamkan diri selama lebih sebulan sejak berakhir PRU15. Kemudian pada hari Jumaat, Hishammuddin muncul membuka mulut. Dan semalam, Nazri Aziz dan Tajuddin Rahman turut serta membuka mulut selepas keluar...

MPN, Majlis paling tak berguna ditubuhkan untuk Abah Kau dibatalkan

Penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dibatalkan kerana timbul pertindihan fungsi dan jawatan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim. “Itu (MPN) juga satu pertindihan juga, jawatan yang diletakkan untuk memenuhi keperluan ketika itu,” katanya pada sidang akhbar di Perdana Putra. MPN ditubuhkan pada...

[VIDEO] Dakwaan seleweng RM600 bilion: ‘Muhyiddin, jangan cabar saya’ – PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak mencabar beliau mengenai isu dana kerajaan berjumlah RM600 bilion yang didakwa diseleweng. Perdana Menteri berkata, Kementerian Kewangan sudahpun dimaklumkan mengenai beberapa pelanggaran melibatkan isu dana...