Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini menolak untuk memberi kebenaran kepada pemohon bagi memulakan tindakan mencabar keabsahan sekolah vernakular bertentangan dengan Perlembagaan.
Hakim Tan Sri Azahar Mohammad ketika membaca teks alasan penghakiman selama 43 minit memberi alasan, tindakan itu keseluruhannya adalah kelihatan berkaitan persoalan sama ada Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 sebagai bertentangan (ultravires) dengan Perkara 152 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah memberitahu, sekiranya itu adalah niat pemohon, maka tindakan itu hendaklah dimulakan di Mahkamah Tinggi mengikut Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu sekiranya sesuatu undang-undang itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, ianya adalah terbatal setakat yang berlawanan dengan Perlembagaan.
“Jadi, pemohon tidak boleh diberikan kebenaran di bawah Perkara 4 (4) Perlembagaan untuk meneruskan cabaran ini di peringkat merit kerana forum yang sesuai untuk dibawa tindakan ini adalah di Mahkamah Tinggi Malaya di bawah Perkara 4 (1), bukannya terus ke Mahkamah Persekutuan.
“Atas alasan tersebut, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran (Leave) kepada pemohon tanpa kos,” katanya.