Saturday, June 10, 2023

Creating liberating content

[Video] Polis lepaskan tembakan...

Kejadian di persimpangan Jalan Semarak menghala Jalan Tun Razak arah selatan. Sebuah kenderaan...

[Video] Kapten hoki India...

Kapten hoki India, Manpreet Singh Pawar melangsungkan majlis perkahwinan dengan kekasihnya dari Malaysia,...

Syarikat taikun ambil alih...

Yang ini ttak boleh diterima. Subang merupakan airport dalam bandar yang amat diperlukan...

[Video] Budak sekolah kantoi...

Kes kantoi buat hubungan intim dalam bilik air sekolah time bulan ramadan kejadian...

Kerajaan Muhyiddin Tumbang, Agong Akan Lantik Perdana Menteri Baru Malaysia

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya pada Isnin, namun diminta menjadi pemimpin sementara negara itu sehinggalah Yang di-Pertuan Agong, yang menolak pilihan raya umum diadakan kerana penularan pandemik koronavirus, menamakan penggantinya, kata jurucakap Istana.

Dalam pada itu pemimpin semua parti politik telah dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Selasa, menurut sumber yang rapat dengan pihak istana namun enggan namanya dinyatakan.

Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah telah memperkenankan peletakan jawatan Muhyiddin dan kabinet beliau, selepas Perdana Menteri itu mengadap Seri Paduka di Istana Negara, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan.

“Seri Paduka berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin dan seluruh Jemaah Menterinya berkuat kuasa hari ini,” kata Ahmad Fadil pada Isnin.

“Susulan peletakan jawatan beliau, Seri Paduka berkenan supaya Muhyiddin Yassin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atau ‘caretaker’ sehinggalah Perdana Menteri baharu dilantik.”

Sebagai perdana Menteri sementara, Muhyiddin tidak mempunyai kabinet tetapi berperanan sebagai perdana menteri dan menasihati Yang di-Pertuan Agong sehinggalah penggantinya dilantik – proses yang sama semasa Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh pada Februari 2020.

Yang di-Pertuan Agong tidak menetapkan sebarang tempoh untuk menamakan perdana menteri baru tetapi bertitah bahawa ia merupakan pilihan terbaik memadangkan pilihan raya umum tidak boleh diadakan dalam waktu terdekat.

Suruhanjaya Pilihan Raya pada Isnin memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa sebanyak 79 peratus atau 484 daripada 613 kawasan pilihan raya di seluruh negeri berada dalam “zon merah” koronavirus dengan mempunyai lebih 40 kes aktif.

“Justeru, pada hemat Seri Paduka, pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukanlah satu pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat,” kata jurucakap Istana Negara itu.

Selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Muhyiddin dalam perutusannya berkata kerajaan tidak dapat diselamatkan kerana “ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat.”

“Saya memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan pada masa yang sama, saya digugat dari segi politik,” katanya dalam perutusan khas itu yang disiarkan secara langsung.

Proses

Penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya menjelaskan proses yang mungkin dilakukan bagi mencari pengganti Muhyiddin.

“Saya percaya Seri Paduka akan menemu duga semua pemimpin parti seperti yang dilakukannya pada 2020 selepas Perdana Menteri Mahathir Mohamad meletakkan jawatan, yang membawa kepada pembentukan kerajaan yang diterajui Muhyiddin,” kata Awang Azman kepada BenarNews.

“Seri Paduka akan melantik calon perdana menteri itu setelah baginda berpuas hati dan yakin bahawa calon itu mendapat sokongan majoriti di Parlimen.”

Sesiapa sahaja yang dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri, calon berkenaan perlu mengesahkan sokongan dengan meminta usul undi percaya dilakukan di Parlimen, langkah yang tidak pernah dilakukan Muhyiddin, kata penganalisis politik.

Bagi Muhyiddi, keputusannya untuk tidak melakukan usul undi percaya semasa 17 bulan pentadbiran beliau telah menyebabkan timbulnya spekulasi berterusan mengenai jumlah sokongan sebenar yang diperoleh beliau daripada 222 Ahli Parlimen Malaysia.

“Mereka harus mengambil iktibar daripada Perikatan Nasional yang tidak mengesahkan sokongan mereka selepas diberi mandat untuk membentuk kerajaan,” katanya, yang merujuk kepada gabungan yang dibentuk Muhyiddin untuk menyandang kuasa pemerintahan.

Tunku Mohar Tunku Mokhtar, seorang profesor sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata beliau tidak pasti sama ada Muhyiddin akhirnya akan menerima sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen.

Buat masa ini, “saingan dalam gabungan Perikatan Nasional termasuklah Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin Hussein dari UMNO serta Hamzah Zainuddin dan Mohamed Azmin Ali dari Bersatu,” kata Tunku Mohar kepada BenarNews.

“Di luar Perikatan Nasional, Anwar Ibrahim adalah pilihan paling ketara tetapi beliau nampaknya tidak menerima sokongan yang mencukupi,” tambahnya lagi.

Penganalisis politik Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia pula berkata walaupun peletakan jawatan Muhyiddin telah menamatkan ketidakstabilan dalam kerajaan persekutuan, namun ia boleh mencetuskan krisis lain sekiranya pelantikan perdana menteri baru dilengahkan.

“Parti-parti politik perlu menamakan calon yang menerima sokongan majoriti daripada kalangan penggubal undang-undang dan boleh diterima oleh Yang di-Pertuan Agong. Proses ini harus diselesaikan dalam minggu ini atau selewat-lewatnya dalam dua minggu ini kerana kita memerlukan kerajaan baru untuk mengemudi negara memandangkan kita masih menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19,” katanya kepada BenarNews.

Azizuddin berkata kerajaan baru perlu dilantik segera kerana perdana menteri sementara mempunyai kuasa yang terbatas dalam memimpin kerajaan dan ini akan dinilai oleh rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

“Satu lagi masalah mendesak ialah kerajaan baru perlu bekerja dengan pantas untuk menyiapkan belanjawan 2022 yang biasanya dibentangkan di Parlimen pada September.”

210816-MY-Inside-Muhyiddin.jpg

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin melambai kepada wartawan ketika tiba di Istana Negara untuk mengemukakan surat peletakan jawatannya, 16 Ogos 2021. [S. Mahfuz/BenarNews]

Usaha terakhir gagal

Dalam usaha menyelamatkan kerajaan pimpinannya selain berdepan dengan gesaan supaya meletak jawatan, Muhyiddin mengemukakan tawaran kepada pembangkang pada Jumaat lepas, dengan harapan mereka akan bekerjasama bagi membolehkannya memimpin kerajaan sehinggalah pilihan raya dapat diadakan selewat-lewatnya pada Julai 2022.

Tetapi, pembangkang menolak tawaran itu dan sebaliknya, mendesak beliau meletakkan jawatan.

Selepas perletakkan jawatannya, Muhyiddin berkata beliau mungkin dapat menyelamatkan kedudukannya sekiranya bekerjasama dengan “kleptokrat” dan mengorbankan prinsip pegangannya, tetapi beliau memilih untuk tidak berbuat demikian.

“Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk terus berkuasa,” kata Muhyiddin memberitahu rakyat Malaysia.

Kenyataan beliau nampaknya menyasarkan kepada pihak dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang diketuai presidennya Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Najib Razak. Muhyiddin bergantung kepada sokongan UMNO untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi mengambil alih jawatan perdana menteri pada Mac 2020, beberapa hari selepas Mahathir meletakkan jawatan.

Najib dan Ahmad Zahid sedang dibicarakan di mahkamah bagi pertuduhan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa. Mereka adalah antara 15 Ahli Parlimen UMNO yang menarik balik sokongan kepada Muhyiddin pada awal bulan ini. Pertuduhan terhadap Najib dikaitkan dengan dana negara 1MDB yang kehilangan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion), kata pendakwa raya, dalam apa yang digambarkan oleh pegawai kehakiman AS sebagai “skandal kleptokrasi terburuk sejak sekian lama.”

Ahmad Zahid pada Isnin turut mengeluarkan kenyataan yang menggesa semua Ahli Parlimen supaya berusaha menubuhkan kerajaan yang stabil dan memberi tumpuan penuh kepada kesejahteraan rakyat Malaysia. Beliau turut menyuarakan iltizamnya.

“Demi kepentingan rakyat dan negara, ketahuilah, saya tidak pernah terlintas untuk menamakan diri saya sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengepalai sebuah parti terbesar,” katanya.

Anwar, pemimpin pembangkang yang menerajui Parti Keadilan Rakyat, menyambut baik keputusan Muhyiddin untuk meletakkan jawatan.
“Saya menggesa semua pihak untuk bertenang dan berdoa supaya Malaysia kembali bangkit kuat dalam menghadapi tantangan kesihatan dan ekonomi saat ini. Saya ucap terima kasih atas khidmat beliau pada negara,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Tempoh Muhyiddin menyandang jawatan perdana Menteri iaitu 533 hari adalah yang paling pendek dalam sejarah Malaysia.

Get notified whenever we post something new!

Continue reading

Geng Broker baru keluar gua

Menjilat luka diri sendiri selepas PN gagal membentuk kerajaan, geng broker mula mendiamkan diri selama lebih sebulan sejak berakhir PRU15. Kemudian pada hari Jumaat, Hishammuddin muncul membuka mulut. Dan semalam, Nazri Aziz dan Tajuddin Rahman turut serta membuka mulut selepas keluar...

MPN, Majlis paling tak berguna ditubuhkan untuk Abah Kau dibatalkan

Penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dibatalkan kerana timbul pertindihan fungsi dan jawatan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim. “Itu (MPN) juga satu pertindihan juga, jawatan yang diletakkan untuk memenuhi keperluan ketika itu,” katanya pada sidang akhbar di Perdana Putra. MPN ditubuhkan pada...

[VIDEO] Dakwaan seleweng RM600 bilion: ‘Muhyiddin, jangan cabar saya’ – PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak mencabar beliau mengenai isu dana kerajaan berjumlah RM600 bilion yang didakwa diseleweng. Perdana Menteri berkata, Kementerian Kewangan sudahpun dimaklumkan mengenai beberapa pelanggaran melibatkan isu dana...