KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dituntut memberi penjelasan berhubung pertemuannya dengan beberapa ahli Parlimen, termasuk pembangkang di kediaman rasminya di Putrajaya, semalam.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan Mohamed Azmin perlu menyatakan tujuan pertemuan itu kerana ia menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pemimpin PKR dan Pakatan Harapan (PH).
“Tentu kita akan minta penjelasan dulu. Gejala ini menimbulkan banyak persoalan oleh rakan-rakan, jadi memang patut beliau beri penjelasan.
“Lebih baik beri penjelasan sama ada pertemuan atas kapasiti parti atau kerajaan.
“Tapi kalau atas kapasiti kerajaan, mengapa ahli Parlimen lain tidak diundang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau mengulas pertemuan antara Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, dengan beberapa Ahli Parlimen BN dan PKR di kediamannya di Presint 10, Putrajaya, malam tadi.
Wakil rakyat terbabit dipercayai berada di situ sejak jam 7 malam, sebelum beransur-ansur meninggalkan kediaman Mohamed Azmin mulai jam 11 malam, diakhiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin.
Ditanya sama ada Mohamed Azmin perlu memberi penjelasan pada mesyuarat Biro Politik PKR esok, Anwar berkata, seorang timbalan presiden parti wajib menghadiri mesyuarat itu.
Berhubung kewajaran pertemuan itu diadakan selepas kekalahan besar PH di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Anwar berpandangan, ia mencerminkan seolah-olah mereka tidak belajar daripada kekalahan dialami.
“Kadang-kadang, beberapa kawan kita ini tidak belajar daripada pengalaman kekalahan parah di Tanjung Piai,” katanya.