Kenyataan Menteri Perpaduan, Senator P. Waytha Moorthy semalam yang mengesahkan komitmen Malaysia untuk tanda tangan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD membuktikan kerajaan PH cuba menipu dan mengelirukan rakyat.
Rumusan daripada kenyataan itu bermakna satu hakikat yang perlu disedari oleh orang Melayu dan penduduk beragama Islam di negara ini bahawa ICERD akan diratifikasikan lambat-laun.
Ini kerana Waytha menegaskan bahawa meratifikasikan ICERD tetap menjadi janji manifesto Pakatan Harapan yang akan ditunaikan juga kerana selaras dengan janji Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, baru-baru ini.
Ketua Penerangan UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, UMNO, PAS dan lebih 500,000 rakyat Malaysia seluruh negara sudah mengadakan Himpunan Aman Daulat 812, menolak ICERD kerana ia jelas menjejaskan kepentingan Islam, orang Melayu Bumiputera, anak negeri dan pelbagai kepentingan kaum termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Parti Hindraf, yang memulakan gerakan pengiktirafan ICERD, nampaknya tidak belajar apa-apa daripada himpunan anti-ICERD pada 8 Disember lalu dengan provokasinya yang berterusan.
“Janji kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD kini sah sebagai satu helah untuk memikat hati rakyat, khasnya orang Melayu. Ia cukup menghampakan,” kata Shamsul dalam kenyataan, Selasa.
Katanya, sebagai Menteri Perpaduan, W“Alasannya bahawa kerajaan pernah meratifikasi konvensyen dunia yang lain tidak langsung dapat diterima kerana ia tidak membabitkan kaum dan agama,” tegas Shamsul lagi.
Katanya, UMNO tidak bersikap biadap dan rasis tetapi Waytha sendiri yang memulakannya.
“Dengan itu, orang Melayu, Bumiputra dan Islam akan terus menentang ICERD dalam keadaan apapun.
“ Jika beliau menghormati prinsip Perlembagaan Persekutuan yang ada dan tidak mahu negara terjerumus ke kancah perkauman dan keagamaan, berhentilah daripada membuat kenyataan rasisnya itu,” ujar beliau.
Sehubungan itu, UMNO mendesak kerajaan membuat pendirian tegas mengenai perkara itu.
Menurut Ahli Parlimen Lenggong itu, selagi perkara itu tidak dimasukkan ke dalam hansard Parlimen secara rasmi, selagi itulah manusia sejenis dengan Waytha akan menggunakannya untuk kepentingan politik perkaumannya.
“Harus diingat, UMNO bukan sahaja menentang ICERD untuk kepentingan Melayu dan Islam, malah meliputi pribumi Sabah dan Sarawak. Ini sudah diperjelaskan berulang kali tetapi Waytha sengaja tidak mahu memahaminya,” ujarnya.
Tambah Shamsul, jika Dr Mahathir masih dengan pendiriannya untuk tidak meratifikasikan ICERD, fikirkanlah semula kedudukan Waytha sebagai menteri perpaduan, atau rakyat yang akan menjadi hakimnya.
Waytha harus sedar bahawa Malaysia sudah aman dan hak semua kaum diiktiraf di bawah pemerintahan Barisan Nasional dan ICERD tidak diperlukan di negara ini.
“Beliau seolah-olah cuba mempertahankan videonya yang diambil beberapa tahun lalu dengan pembohongannya mengenai orang Hindu dianaktirikan dan dipaksa memeluk Islam di negara ini.