Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menolak tanggapan bahawa beliau kini dalam senarai bagi jawatan Menteri Pendidikan.
“Saya tiada dalam senarai,” kata Presiden PKR dan Ahli Parlimen itu sambil tertawa apabila ditimbulkan persoalan itu oleh wakil media.
Beliau menambah bahawa secara konvensyen, pelantikan menteri adalah prerogatif Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan perbincangan mengenai pengisian jawatan Menteri Pendidikan oleh pemimpin Pakatan Harapan hanya akan diadakan jika ada keperluan.
“Terpulanglah kepada Perdana Menteri dan kepimpinan PH jika perkara itu perlu dibincangkan. Tetapi pada pandangan saya kekosongan (jawatan menteri) sentiasa diisi berdasarkan kebijaksanaan PM,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sekolah Tamil di Selangor untuk tahun 2016-2019, di sini.